YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK SEMPURNAKAN ISTIADAT PERBARISAN SAMBUTAN HARI PAHLAWAN PERINGKAT NEGERI SARAWAK TAHUN 2026

KUCHING, 31 Julai – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini telah berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Perayaan, Petra Jaya pagi tadi.

Ketibaan TYT Tun Pehin Sri bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah binti Mohd Sanusi pada jam 8.00 pagi telah disambut oleh YDH CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Pesuruhjaya Polis Sarawak bersama isteri, YBhg. Datin Dr. Nitce Isa Medina binti Machmudi Isa; dan YBhg. Mejar Jeneral Mohd Sobirin bin Haji Mohd Yusuf, Panglima 1 Divisyen serta isteri, YBhg. Puan Noor Hamiza binti Suhami.

Turut hadir ialah YB Dato Sri Haji Karim Rahman bin Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak mewakili Premier Sarawak dan isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Zuraini binti Abdul Jabbar, YBhg. Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) ketua-ketua jabatan serta dif-dif Kenamaan.

Sejurus ketibaan, TYT Tun Pehin Sri berkenan menerima Hormat Diraja oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama, diiringi dengan lagu kebesaran negeri Ibu Pertiwiku, sebelum berkenan melakukan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kesepuluh Rejimen Sempadan, Lt. Kol. Ferry Shahrul Rizal bin Roslan. Pasukan KKU terdiri daripada 14 Pegawai dan 441 anggota, termasuk tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat.

Selain itu, Istiadat Perbarisan turut disertai oleh 4 detasman yang terdiri daripada gabungan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia serta Persatuan Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia.

Istiadat diteruskan dengan upacara menurunkan Jalur Gemilang diiringi tiupan paluan akhir, persembahan koir, tayangan video montaj serta persembahan deklamasi sajak yang bertajuk “Maruah Yang Tidak Dijual” hasil karya ciptaan bersama Mejar Jeneral Mohd Sobirin bin Haji Mohd Yusuf, Sarjan Mohammad Nazari bin Abdul Manan serta Koperal Muhammad Hafiz bin Berahim dan dipersembahkan oleh Sarjan Mohammad Nazari bin Abdul Manan dan Koperal Muhammad Hafiz bin Berahim dari Skuadron Semboyan Briged Ketiga Infantri.

Istiadat diteruskan dengan sesi memperkenalkan Penerima Pingat Panglima Gagah Berani kepada TYT Tun Pehin Sri yang terdiri daripada lima orang penerima iaitu Pegawai Waren Satu (B) Beliang anak Bali, Sarjan (B) Mereng anak Imang, Lans Koperal (B) Unggek anak Atin, Lans Koperal (B) Bajau anak Ladi, Sarjan (B) Dajai anak Anggie dan Sub Inspektor (B) Mohamad bin Salim.

Majlis diikuti dengan upacara menaikkan jalur gemilang diiringi tiupan paluan fajar dan kemudian bacaan doa oleh Sahibul Fadilah Imam Besar Sarawak, YBhg. Dato Haji Mustapha Kamal bin Ahmad Fauzi dan seterusnya diakhiri dengan lagu kebangsaan Negaraku serta lagu kebesaran negeri Ibu Pertiwiku.

Acara Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan ini merupakan satu upacara bermakna yang diraikan sebagai simbol penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian para pahlawan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia serta Polis Diraja Malaysia sama ada yang telah gugur mahupun yang masih hidup dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara yang tercinta.

Foto: Astana Sarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *