

𝗟𝗨𝗠𝗨𝗧, 𝟯𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak telah menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas B selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen perikanan di kedudukan kira-kira 3.58 batu nautika ke barat Pulau Tukun Terindak, Perak pada kira-kira jam 8.00 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan ketika dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan rutin menerusi Op Sayong/Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris di perairan negeri Perak.
Hasil pemeriksaan terhadap dokumen vesel mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar berusia antara 39 hingga 49 tahun.
Siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan beberapa pelanggaran syarat sah lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada lima batu nautika dari pantai, pemilik tidak mengusahakan sendiri vesel berkenaan serta menggunakan pukat yang mempunyai saiz mata kurang daripada 38 milimeter.
Selain itu, dua kru warga asing turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian berasingan, sebanyak 31 set bubu naga atau bubu kamban telah dirampas susulan aduan orang awam di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika ke barat muara Sungai Tiang, Perak pada lebih kurang jam 2.00 petang semalam.
Mengulas lanjut mengenai kes tersebut, Mohamad Shukri berkata, rampasan dilakukan selepas pasukan bot ronda Maritim Malaysia menemui beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air ketika melaksanakan rondaan rutin di lokasi berkenaan.
Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM4,000 dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pemilik bubu naga boleh disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
