SOROTAN BERITA JENDELA MADANI

KENYATAAN MEDIA

TERMINAL 1 SEREMBAN TERIMA PENARAFAN GRED A, PERKUKUH HAB PENGANGKUTAN AWAM BERSEPADU NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN, 27 Julai 2026 – Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini menyerahkan Penarafan Terminal Gred A kepada Terminal 1 Seremban, sekali gus mengiktiraf terminal berkenaan sebagai hab pengangkutan awam darat utama di Negeri Sembilan yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi pengurusan, operasi, keselamatan serta penyediaan kemudahan moden dan mesra pengguna.

Majlis penyerahan penarafan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengoperasian Terminal 1 Seremban dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, selamat dan bersepadu.

TERMINAL BERSEPADU

Terminal 1 Seremban yang telah dilesenkan sebagai terminal bersepadu oleh APAD sejak 1 Ogos 2023 menghubungkan pelbagai mod pengangkutan awam termasuk bas ekspres, bas henti-henti, BAS.MY, perkhidmatan teksi serta mempunyai sambungan terus ke Stesen KTM Seremban, sekali gus memudahkan pergerakan penumpang ke pelbagai destinasi.

Terminal berkenaan dilengkapi dengan 46 platform, merangkumi 20 platform pelepasan, enam platform ketibaan serta 20 platform bagi perkhidmatan BAS.MY dan bas henti-henti.

Selain itu, pelbagai kemudahan moden turut disediakan termasuk fasiliti mesra orang kurang upaya (OKU), sistem pembelian tiket tanpa tunai, kamera litar tertutup (CCTV), ruang menunggu yang selesa dan premis komersial bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

Pada masa ini, Terminal 1 Seremban mengendalikan antara 150 hingga 180 perjalanan bas setiap hari melibatkan 84 operator bas ke pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung Malaysia serta merekodkan penggunaan sekitar satu juta penumpang setahun.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI, Kementerian Pengangkutan, APAD, Majlis Bandaraya Seremban serta pengendali terminal dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, selamat, cekap dan bersepadu.

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya di kawasan sosial dan luar bandar, kerajaan turut memperkasa rangkaian BAS.MY menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di samping menyalurkan Dana Bantuan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) berjumlah RM63.175 juta setahun bagi memastikan laluan yang kurang menguntungkan terus beroperasi demi kepentingan rakyat.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk menyediakan sistem mobiliti yang cekap, inklusif dan mampan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui akses pengangkutan awam yang lebih baik.

Sumber: Facebook Rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia (Minister of Transport)

Sorotan : Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *