
Dunia bukan sahaja berdepan krisis ekonomi tetapi juga nilai dan kemanusiaan
25 Julai 2026
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia hari ini bukan sekadar berdepan krisis ekonomi, tetapi juga krisis nilai dan kemanusiaan.
Katanya, daripada kezaliman yang berterusan di Gaza, kebangkitan sentimen perkauman, hinggalah perubahan iklim dan sistem ekonomi yang terus memusatkan kekayaan kepada hanya segelintir pihak.
“Semua yang berlaku ini menuntut kita untuk menilai semula makna sebenar kemajuan.
“Kemajuan tidak boleh diukur hanya melalui angka pertumbuhan, pelaburan atau kekayaan.
“Persoalan yang lebih penting ialah: siapakah yang menikmati hasil kemakmuran itu, dan apakah ertinya pembangunan jika manusia terus dipinggirkan serta dinafikan maruah dan harapan?,” tegasnya.
Perkara tersebut adalah apa yang Perdana Menteri kongsikan sewaktu menyampaikan ucaptama pada majlis “Humane Economy Global Discourse 2026: Reclaiming Humanity for Shared Prosperity” di ibu negara.
Justeru itu, menurut beliau, perlu ditekankan pada semua bahawa ekonomi ialah wahana untuk memartabatkan insan, bukan matlamat yang diagung-agungkan.
Dalam hal tersebut, Semangat Malaysia MADANI, katanya ialah bertujuan membina kekayaan tanpa kehilangan kebijaksanaan, memacu inovasi tanpa mengabaikan ihsan, serta mengejar kemajuan tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan.
