
24 Julai 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera bagi membantu pelajar yang terkesan susulan kebakaran asrama Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, Kulim. Bantuan kewangan, sokongan logistik serta penyelarasan antara agensi dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara dan sesi pembelajaran dapat diteruskan tanpa gangguan berpanjangan.
“Apabila berlaku musibah yang menjejaskan anak-anak, keutamaan kerajaan adalah memastikan kebajikan mereka segera dibela supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan sebaiknya.”
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Menteri Dalam Negeri
Seramai 116 pelajar terjejas dalam kejadian tersebut dengan setiap pelajar menerima bantuan tunai RM500 bagi meringankan beban mendapatkan semula keperluan persekolahan. Selain itu, permohonan peruntukan segera sebanyak RM200,000 turut dikemukakan bagi pembinaan bangunan sementara untuk memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan.
Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan Van Bergerak JPN ke sekolah berkenaan bagi menyediakan penggantian MyKad secara percuma kepada pelajar yang kehilangan dokumen akibat kebakaran. Pejabat Menteri Dalam Negeri turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
KDN akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap bantuan dapat disalurkan dengan segera serta kebajikan mangsa sentiasa diberi perhatian.
Sumber: Kementerian Dalam Negeri (KDN) | Kulim, Kedah | 22 Julai 2026
