Malaysia Mesti Melonjakkan Penguasaan Teknologi Strategik yang dipelopori kepakaran anak tempatan – PMX

29 Jun 2026

Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi meneliti landskap ancaman keselamatan siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber negara.

Mesyuarat hari ini membicarakan perkembangan model AI generasi baharu (Frontier AI), termasuk Anthropic Mythos, serta implikasinya terhadap keselamatan siber negara.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut PMX berkata, perkembangan ini menuntut Malaysia bertindak lebih pantas dan strategik dalam membina keupayaan teknologi sendiri.

” Saya tegaskan bahawa Malaysia mesti melonjakkan penguasaan teknologi strategik agar mampu membangunkan teknologi tempatan yang dipelopori oleh kepakaran anak tempatan.

” Dalam masa yang sama, pembangunan teknologi mesti diselarikan dengan keutuhan nilai, budaya dan jati diri negara.

” Saya turut memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan kriptologi negara sebagai asas penting dalam melindungi data, komunikasi strategik dan kedaulatan digital Malaysia pada era kecerdasan buatan serta pengkomputeran kuantum, ” ujar PMX dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.

Katanya, mesyuarat turut menyentuh usaha memperkukuh perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman pasca-kuantum (PQC) serta menangani ancaman baharu termasuk penyalahgunaan AI.

” Tatkala dunia kian dipacu teknologi dan kecerdasan buatan, keselamatan siber menjadi benteng kepada kedaulatan digital, kemajuan dan daya saing negara.

” Keupayaan melindungi data, sistem serta infrastruktur kritikal akan menjadi antara penentu kekuatan Malaysia pada masa hadapan, ” ujar beliau lagi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *