
KEMENTERIAN LUAR NEGERI PANTAU RAPI INSIDEN LETUPAN DI NARATHIWAT, TIADA RAKYAT MALAYSIA TERKORBAN
PUTRAJAYA, 29 Jun 2026 – Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan bahawa pihaknya, menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, sedang memantau secara rapi perkembangan susulan insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) yang berlaku di Wilayah Narathiwat, Thailand kira-kira jam 11.45 pagi waktu tempatan pada 29 Jun 2026.
Menurut KLN, laporan awal mengesahkan sebuah kenderaan milik warganegara Malaysia turut terjejas dalam insiden tersebut. Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa melibatkan rakyat Malaysia dilaporkan.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat yang sahih serta menyelaras bantuan konsular kepada mana-mana rakyat Malaysia yang terkesan.
Sehubungan itu, KLN menasihatkan semua warganegara Malaysia yang menetap atau berada di wilayah selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagi memudahkan urusan bantuan konsular, rakyat Malaysia juga digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing melalui portal e-Konsular, selain segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sekiranya memerlukan bantuan atau berdepan situasi kecemasan.
Kementerian Luar Negeri menegaskan akan terus memantau perkembangan insiden tersebut secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa selepas fakta rasmi disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Sorotan Berita : Jendela Madani
