



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 JUN 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pepaduan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal dengan sendirinya.
Beliau berkata ia mesti terus dipupuk dengan kebijaksanaan, kesabaran dan ikhtiar yang berterusan, sambil menolak segala bentuk tindakan yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Sejarah mengajar kita bahawa Malaysia mampu kekal bersatu dalam kepelbagaian kerana wujudnya kepimpinan berwawasan yang meraikan perbezaan sebagai kekuatan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
TOKOH-TOKOH BESAR
Anwar menjelaskan tokoh-tokoh besar seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Temenggong Jugah, Tun Mustapha Harun serta Tun Fuad Stephens telah meletakkan asas perpaduan yang kukuh.
Beliau berkata ini membuktikan bahawa kemajmukan bukan halangan, sebaliknya sumber kekuatan dalam membina sebuah negara yang aman, stabil dan maju.
“Saya tekankan perkara tersebut sewaktu berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah,” kata Anwar.
TERUS MENGAMALKAN KEMATANGAN
Beliau juga mengingatkan bahawa perpaduan hanya dapat dipertahankan sekiranya kita terus mengamalkan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan dalam berpolitik serta dalam mengurus perbezaan.
Sehubungan itu kata Anwar semangat negara bangsa yang telah dibina dengan susah payah ini mesti terus diperkukuh.
” Ia harus berlandaskan rasa hormat, saling percaya dan kesediaan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi segala perbezaan dan kepentingan sempit,” tambah beliau. – JM
