KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

KESIAPSIAGAAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM)
DALAM MENGHADAPI RISIKO PENYAKIT EBOLA VIRUS
BUNDIBUGYO

20 Mei 2026

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa
Penyakit Ebola yang disebabkan oleh virus Bundibugyo telah
diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai
Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa/
Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) pada 17 Mei
2026 berikutan kejadian wabak tersebut di Republik Demokratik Congo
(DRC) dan Uganda.

Sehingga 16 Mei 2026, WHO melaporkan sebanyak lapan (8) kes
disahkan makmal, 246 kes disyaki, dan 80 kematian disyaki telah
dilaporkan di Wilayah Ituri, DRC.

Selain itu, sebanyak dua (2) kes
disahkan makmal termasuk satu (1) kematian turut dilaporkan di
Kampala, Uganda melibatkan individu yang mempunyai sejarah
perjalanan dari DRC.

KKM ingin menegaskan bahawa sehingga kini tiada kes Ebola dilaporkan
di Malaysia.

Walau bagaimanapun, mengambil kira risiko importasi kes
melalui perjalanan antarabangsa, KKM terus memperkukuh langkah
kesiapsiagaan dan pemantauan bagi memastikan negara sentiasa
bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

KKM memantau pengembara yang memasuki Malaysia dari Uganda dan
DRC, termasuk mereka yang melalui penerbangan transit di hab
antarabangsa seperti Dubai, Doha, dan Singapura.

Buat masa ini, tiada
penerbangan terus dari kedua-dua negara tersebut ke Malaysia.

Pemantauan dan saringan terus diperkukuh bagi tujuan penilaian risiko
kesihatan awam serta pelaksanaan langkah pencegahan awal.

Ebola merupakan penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut.

Penularan berlaku melalui kontak rapat dengan darah atau cecair badan
individu atau haiwan yang dijangkiti.

Antara gejala penyakit termasuk
demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit dan, dalam
sesetengah kes, pendarahan.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara, KKM telah melaksanakan dan
mempertingkatkan langkah-langkah berikut:

i. Memperkukuh survelan dan pemantauan di semua Pintu Masuk
Antarabangsa (PMA), termasuk lapangan terbang dan pelabuhan;

ii. Meningkatkan pengesanan awal kes melalui sistem survelan penyakit
berjangkit sedia ada termasuk pemantauan individu bergejala dengan
sejarah perjalanan ke kawasan terlibat;

iii. Memperkukuh kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi pengesanan,
pengasingan, dan pengurusan kes disyaki termasuk pematuhan
langkah Infection Prevention and Control (IPC);

iv. Memastikan kesiapsiagaan alat perlindungan diri (PPE) dan latihan
petugas kesihatan sentiasa berada pada tahap optimum;

v. Memperkasa kapasiti diagnostik makmal bagi pengesanan viral
haemorrhagic fever melalui kerjasama bersama Institut Penyelidikan
Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK);
dan

vi. Memperkukuh koordinasi dan pemantauan risiko global bersama
WHO, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia
(AKPS), syarikat penerbangan serta agensi berkaitan.

Individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terlibat
dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami
gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam
tempoh 21 hari selepas pulang dari negara berkenaan.

Orang ramai juga
dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber
rasmi KKM dan WHO serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang
boleh menimbulkan kegusaran awam.

KKM akan terus menjalankan pemantauan risiko dan penilaian situasi
semasa secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan negara
sentiasa berada pada tahap optimum.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
20 MEI 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *