PH terus bersedia, perkukuh saf perjuangan, pertahan kestabilan negara – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
17 MEI 2026

Pakatan Harapan (PH) akan terus bersedia, memperkukuh saf perjuangan dan mempertahankan kestabilan negara dengan penuh keyakinan, semangat kebersamaan dan rasa tawaduk demi rakyat serta tanah air tercinta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meja rundingan, pentas perdebatan, setiap ruang jadi medan ikatan.

Beliau berkata tiada gentar, tiada kebimbangan, selagi perjuangan memahat wawasan.

LUKA DAN PENGALAMAN

“Kita didewasakan luka dan pengalaman, tidak tunduk pada desakan mahupun kebingungan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini.

Justeru itu kata Anwar bergerak tuntas, langkah diperjelas, ia semua demi rakyat yang dipelihara ikhlas.

“Rapat umum Pakatan Harapan hari ini menghimpunkan semangat perjuangan, kekuatan dan tekad untuk terus mempertahankan mandat rakyat serta membina masa depan negara yang lebih stabil dan bermaruah,” jelas Anwar

AMARAH ATAU KEBENCIAN

Sehubungan itu kata beliau kekuatan perjuangan ini bukan lahir daripada amarah atau kebencian, tetapi keyakinan bahawa rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang bekerja, mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah sebenar di lapangan.

“Dalam keadaan dunia yang kian mencabar, soal kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak serta kestabilan ekonomi negara mesti terus menjadi keutamaan,” tambah beliau.

Jelas Anwar PH dibina atas semangat saling percaya dan iltizam untuk mempertahankan tatakelola yang bersih serta dasar yang benar-benar membela rakyat terbanyak.

BERUNDING DENGAN BAIK

“Kita memilih pendekatan bil hikmah, berunding dengan baik dan menjaga kestabilan demi kepentingan negara,” kata beliau.

Namun pendekatan itu kata beliau jangan sesekali dibaca sebagai kelemahan.

“Jika mereka mahu berunding dengan baik, kita berunding dengan baik,” kata Anwar.

MEMILIH UNTUK BERTEMPUR

Tetapi kata Anwar kalau mereka memilih untuk bertempur, kita akan bertempur dengan penuh keyakinan dan kekuatan.

“Kita tidak makan ugutan, soal mandat biarlah dikembalikan kepada rakyat untuk menentukannya, bukan sekadar di negeri-negeri tertentu tetapi jika perlu, di seluruh negara,” tegas beliau.

“Kita juga didewasakan dengan pelbagai luka dan pengalaman, namun tidak sesekali tunduk kepada ugutan, pengkhianatan mahupun percaturan sempit politik,” ujar beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *