800 set Kombo MADANI, 300kg daging laris di 2 lokasi Jualan Agro MADANI di Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 MEI 2026

Tawaran 800 set Kombo MADANI dan 300 kilogram (kg) daging tempatan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis di dua lokasi Jualan Agro MADANI laris sekalipun hujan di sepanjang jualan ini berlangsung.

Pengarahnya Mohd Anzara Azizan berkata ia melibatkan lokasi pasar Tani di UiTM Arau dan di Padang Awam Kampung Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Beliau menjelaskan dengan tawaran kadar penjimatan barangan di pasar Tani dari 10 hingga 30 peratus ini tidak menjadi halangan kepada orang ramai untuk membuat pembelian tanpa menghiraukan keadaan cuaca.

KOLABORASI ANTARA FAMA

“Pelaksanaan jualan itu adalah manifestasi kolaborasi antara FAMA dengan beberapa pihak iaitu UiTM Cawangan Perlis dan Gerakan Belia 4B Negeri Perlis,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Anzara berkata sejak Mac lalu sehingga kini, sebanyak 27 kali program Jualan Agro MADANI ini dilaksanakan dengan penglibatan hampir 216 usahawan dan telah memberi manfaat kepada hampir 82,500 orang pengguna.

“Nilai jualan yang dicatatkan ialah RM 338,000.00 dengan nilai penjimatan yang direkodkan RM96,000.00,” kata beliau.

MEMBAWA BUAH IKON

Mohd Anzara memberitahu seiring dengan musim pengeluaran mangga harumanis kali ini, FAMA mengambil inisiatif untuk membawa buah ikon negeri Perlis ke Jualan Agro MADANI Edisi Perlis yang akan berlangsung pada 22 Mei 2026 di Bangunan FAMA Point Selayang, Selangor.

Jelas beliau program ini akan memberi ruang kepada usahawan mempromosikan produk keluaran Perlis.

Beliau berkata ini memberi peluang untuk penduduk Lembah Klang mendapatkan mangga harumanis dan produk makanan negeri Perlis seperti Pulut Harumanis, Laksa Perlis, Nasi Ulam dan produk IMAT berasas mangga ikon negeri ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *