






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
4 MEI 2026
Kemajuan sebenar sesebuah negeri bermula dengan integriti. Jagalah amanah dan kredibiliti kita untuk menarik keyakinan pelabur ke zon ekonomi seperti Padang Besar dan Chuping, kerana kepercayaan adalah kunci pertumbuhan yang kukuh.
Janganlah batasan sumber menjadi penghalang untuk negeri Perlis menjadi maju.
Fokuslah kepada kelebihan yang kita ada, seperti pelancongan agrobio dan perdagangan sempadan, agar setiap usaha mendatangkan manfaat maksimum buat negeri dan rakyat.
PROGRAM HIJRAH MINDA
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Cantik Bangun, Simpang Empat baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Program Hijrah Minda merupakan inisiatif strategik MAIPs yang menumpukan kepada transformasi sosial dan pemikiran masyarakat. Ia bukan sekadar kempen kesedaran, sebaliknya sebuah gerakan holistik yang bertujuan memperkukuh sosio-ekonomi ummah di negeri Perlis melalui pendekatan bersepadu dan berimpak tinggi.
TRANSFORMASI SOSIO-EKONOMI
Antara fokus utama program ini termasuk usaha memperkasa transformasi sosio-ekonomi, menyemai semangat ihsan dalam perkhidmatan, menggalakkan gaya hidup sihat dan proaktif, mempertingkatkan penguasaan ilmu dan pendidikan, serta memupuk nilai kelestarian dan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua turut berkenan menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Kampung Cantik Bangun itu, sebagai usaha meringankan beban serta meningkatkan kesejahteraan golongan yang memerlukan.
Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam kalangan masyarakat, selaras dengan aspirasi membina komuniti yang sejahtera, berilmu dan berdaya maju. – JM
