BBC CADANG KERAJAAN BENTANG PELAN MITIGASI MENYELURUH
BERHUBUNG CADANGAN UNJURAN PENSTRUKTURAN BELANJAWAN
NEGARA

4 Mei 2026

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) mengambil maklum kegusaran awam
berhubung cadangan unjuran penstrukturan belanjawan negara, khususnya
melibatkan sektor kesihatan yang dianggarkan mencecah RM3 bilion.

Walaupun
memahami serta menyokong keperluan pengukuhan fiskal negara dalam suasana
ekonomi semasa, BBC berpandangan bahawa satu pelan mitigasi yang jelas,
konklusif dan menyeluruh wajar dibentangkan kepada rakyat bagi memastikan
sebarang pelarasan peruntukan tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan
awam negara.

Bagi memastikan kelestarian sistem kesihatan negara dalam mendepani cabaran
ekonomi semasa bagi jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan beberapa inisiatif
tunjang yang telah digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan perlu dipercepatkan.

Anjakan paradigma daripada sistem yang berorientasikan rawatan pesakit kepada
pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan berteraskan
kesejahteraan rakyat perlu dilaksanakan segera.

Selaras dengan hasrat tersebut,
pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas wajar
disegerakan sebagai mekanisme pembiayaan alternatif bagi mengurangkan
kebergantungan sepenuhnya kepada dana persekutuan, seterusnya menjamin sistem
kesihatan yang inklusif, mampan dan mampu milik.

Selain itu, bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan sedia ada, BBC
mencadangkan agar Kerajaan menangguhkan sementara perancangan pembinaan
hospital baharu dan menumpukan kepada usaha menaik taraf fasiliti hospital sedia
ada, termasuk memastikan ketersediaan peralatan serta kelengkapan perubatan yang
mencukupi.

Pada masa yang sama, Kerajaan juga dicadangkan memperkukuh
sokongan terhadap pembangunan kapasiti pengeluaran ubat-ubatan dan peranti
perubatan tempatan bagi menjamin sekuriti bekalan kesihatan negara dalam jangka
panjang.

BBC juga berpandangan bahawa agenda membaik pulih klinik kesihatan daif mesti
terus menjadi keutamaan nasional.

Fasiliti penjagaan primer ini wajar dinaik taraf
sekurang-kurangnya kepada kapasiti Klinik Kesihatan Jenis 4 supaya perkhidmatan
rawatan harian dapat dilaksanakan secara lebih komprehensif di peringkat komuniti
sebagai usaha mengurangkan kesesakan pesakit di hospital awam.

Kelangsungan
Skim Perubatan MADANI juga perlu diteruskan memandangkan inisiatif ini terbukti
berperanan sebagai penampan berkesan dalam mengurangkan kebergantungan
pesakit bagi rawatan kes ringan di hospital awam.

Dalam meneliti usaha pengukuhan fiskal negara, kebajikan dan kelangsungan barisan
hadapan kesihatan mesti kekal sebagai keutamaan.

Penstrukturan belanjawan perlu
dilaksanakan secara teliti bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap beban tugas,
isu kelesuan melampau serta penghijrahan tenaga pakar ke sektor swasta yang boleh
menjejaskan kapasiti sistem kesihatan awam negara dalam jangka panjang.

Sebagai rakan strategik Kerajaan, BBC akan terus memainkan peranan semak dan
imbang yang konstruktif bagi memastikan setiap pelaksanaan dasar kewangan
negara sentiasa berpaksikan nilai ihsan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian sistem
perkhidmatan awam.

DATUK SERI DR. ZALIHA MUSTAFA
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC)
Ahli Parlimen Sekijang
4 Mei 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *