ISU PERINTAH LARANGAN: SESI LIBAT URUS KEMENTERIAN DALAM
NEGERI BERSAMA PERSATUAN PENERBIT BUKU MALAYSIA
(MABOPA)

PUTRAJAYA, 24 April 2026 – Satu sesi libat urus telah diadakan di antara
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan ahli Persatuan Penerbit Buku
Malaysia (MABOPA) pada 21 April 2026 bagi membincangkan perkara-
perkara yang terkait industri penerbitan di Malaysia.

KDN telah diwakili oleh
Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan.

Selaras dengan hasil perbincangan dalam sesi libat urus yang telah diadakan,
KDN akan memperkukuh pendekatan sedia ada dengan mengadakan
perbincangan terlebih dahulu bersama mana-mana penerbit yang terlibat
sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap hasil penerbitan mereka.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan bagi
memastikan proses yang lebih telus dan konstruktif.

Dalam masa yang sama, KDN akan meneliti serta menilai semula Perintah
Larangan terhadap hasil penerbitan yang telah diwartakan, dengan
mengambil kira pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh pihak
berkepentingan.

KDN sentiasa menghormati dan mengalu-alukan kebebasan berkarya serta
wacana ilmiah, dan menghargai perkembangan kreativiti penulisan dalam
negara.

Namun demikian, sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan
dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam, KDN menegaskan
bahawa setiap penerbitan perlu mematuhi peruntukan undang-undang serta
tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, KDN menyeru semua pihak agar memberikan ruang
sewajarnya kepada kementerian untuk mengurus dan menangani perkara ini
dengan sebaiknya, demi memastikan keseimbangan antara kebebasan
berkarya dan kepentingan keselamatan awam terus terpelihara, selaras
dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan,
tanggungjawab dan kesejahteraan bersama.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

24 APRIL 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *