Pelajar perlu tampil sebagai pencipta berinovasi, berdaya saing – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
23 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam era Revolusi Industri 4.0, para pelajar perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya tampil sebagai pencipta yang berinovasi dan berdaya saing.

Baginda menyeru agar kemudahan digital yang disediakan di sekolah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.

Akses kepada internet, peranti dan teknologi perlu digunakan secara optimum untuk tujuan pembelajaran, penerokaan ilmu dan penghasilan sesuatu yang bernilai.

MENCUBA PERKARA BAHARU

β€œKejayaan bermula apabila pelajar berani mencuba perkara baharu dan melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk belajar dan berkembang,”.

Titah tersebut dizahirkan ketika Tuanku Raja Muda berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen 2026 di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra sekolah berkenaan di Kangar.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

BERSLOGANLAN ‘PERLIS HEBAT!

Keberangkatan tiba Baginda berdua ke program yang berslogankan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu disambut oleh Pengetua Sekolah, Lili Mariam Mohammad @ Mokhtar.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan seramai 341 orang pelajar, terdiri daripada 185 pelajar lelaki dan 156 pelajar perempuan.

MENCATATKAN PRESTASI CEMERLANG

Dalam ucapannya, Lili Mariam memaklumkan bahawa SMK Tuanku Lailatul Shahreen terus mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun 2025.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik kepada 3.19 berbanding 3.35 pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 0.16 mata. Pencapaian ini turut mencerminkan trend peningkatan berterusan selama tiga tahun berturut-turut.

Kecemerlangan sekolah turut terserlah dalam pelbagai bidang. Dalam kategori akademik, Muhammad Hadif Imran Othman muncul johan peringkat negeri dalam Pertandingan Mimbar Daie, manakala pasukan yang dianggotai Dian Durrani Izwan, Dian Farhana Muhammad Najib dan Ar Ryern Thaqief Norazman meraih naib johan dalam pertandingan National ICT Security Discourse peringkat kebangsaan.

DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Dalam bidang sukan, Muhammad Afif Syafiq mencatat kejayaan membanggakan dalam acara lompat tali di peringkat antarabangsa dan kebangsaan termasuk di Korea Open 2025, manakala Aqib Hazli Mohamad Zamri muncul juara Kejohanan Catur MSSPs Bawah 18 Lelaki 2026.

Dari aspek pendigitalan, sekolah ini turut dipilih mewakili negeri Perlis bagi Anugerah Emas Digital Utilization Award (DUTA) 2025 yang telah dinilai pada 20 April 2026.

Antara pencapaian utama termasuk kejayaan merangkul johan peringkat negeri dalam pertandingan Digital Storytelling Animation (DSTA 2D), sekali gus mengukuhkan kedudukan sekolah sebagai institusi pendidikan yang progresif dan berdaya saing.

Pada majlis sama, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian LeGaCY Hall SMK Tuanku Lailatul Shahreen, sebuah inisiatif yang memaparkan sejarah penubuhan sekolah, sorotan peristiwa penting, serta pencapaian yang telah diraih, menjadi simbol kebanggaan dan legasi warga sekolah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *