



Kuala Lumpur, 7 April β Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Asia e University (AeU) dan World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur menganjurkan Wacana Ilmiah Perdana sebagai usaha memperkukuh agenda integriti dan tadbir urus beretika di negara ini.
Wacana yang menghimpunkan pemimpin, ahli akademik serta pemain industri itu turut menjadi platform membincangkan cabaran rasuah yang semakin kompleks serta pendekatan strategik bagi memperkasa pendidikan dan kepimpinan berintegriti.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh lagi bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh merangkumi aspek pencegahan dan pengurusan.
Beliau berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan melalui strategi βThree-Pronged Approachβ yang menekankan pemerkasaan penguatkuasaan, pencegahan rasuah secara menyeluruh serta pengurusan yang efektif.
βRasuah bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi berpunca daripada kelemahan sistem dan tadbir urus. Justeru, integriti perlu menjadi teras dalam setiap aspek pembangunan negara,β katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program berkenaan di WTC di sini, hari ini.
Menurutnya, kepimpinan yang tegas dan berintegriti merupakan faktor utama dalam menentukan kejayaan sesuatu sistem, termasuk dalam pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024β2028.
Dalam pada itu, Tan Sri Azam berkata pendekatan berasaskan risiko dan data turut diperkasakan bagi mengenal pasti sektor berisiko tinggi seperti perolehan kerajaan, penguatkuasaan serta pengurusan dana awam.
Sementara itu, Presiden Pengasas AeU, Prof. Datuk Dr. Ansary Ahmed berkata, pendidikan memainkan peranan penting sebagai asas dalam membentuk masyarakat berintegriti.
Beliau berkata, dalam era globalisasi dan disrupsi teknologi, integriti perlu diterapkan sebagai nilai utama melalui pendidikan, pembentukan karakter serta pembangunan kepimpinan beretika sejak awal.
βAeU komited memperkukuh budaya integriti melalui pelaksanaan Polisi dan Manual Integriti, pelantikan Ketua Pegawai Integriti (CeIO) serta pembangunan modul antirasuah dalam program akademik dan latihan profesional,β katanya.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan pelajar bukan sahaja memahami konsep integriti, malah mampu mengamalkannya dalam situasi sebenar melalui analisis kes dan simulasi dilema etika.
BARISAN PANEL BERPENGALAMAN
Sementara itu, turut diadakan sesi forum bertajuk βIntegriti dalam Era Disrupsi: Peranan Pendidikan dan Kepimpinanβ yang menampilkan barisan panel berpengalaman daripada pelbagai latar belakang.
Antara panelis terlibat ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Seri Rosman Mohamed; Naib Canselor Asia e University, Prof. Dr. Noor Raihan Ab Hamid; serta Ahli Parlimen Bentong merangkap Ahli Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Young Syefura Othman.
Forum berkenaan dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali yang bertindak sebagai moderator, dengan perbincangan memfokuskan kepada cabaran integriti dalam era perubahan teknologi serta peranan pendidikan dan kepimpinan dalam memperkukuh nilai beretika dalam masyarakat.
Wacana berkenaan turut dilihat sebagai platform penting dalam mencetuskan dialog berimpak tinggi serta menjadi pemangkin kepada pembaharuan dasar dan pengukuhan budaya integriti dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Pengarah-pengarah Kanan dan Bahagian SPRM serta pemimpin dan ahli akademik pengajian tinggi.
