SPRM PERKUKUH MATF, TUMPU PEMULIHAN ASET

Putrajaya, 2 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperkukuh peranan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) bagi membanteras jenayah rasuah dan kewangan secara lebih bersepadu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, pendekatan penguatkuasaan kini memberi penekanan kepada usaha menjejak, merampas dan mengembalikan semula hasil yang dicuri kepada rakyat.

“Ini bukan soal kutipan, tetapi pemulihan semula hasil negara yang diseleweng. Setiap sen yang dicuri akan dijejaki dan dikembalikan kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus MATF: Way Forward 2026 anjuran Bahagian Operasi Khas SPRM di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Tan Sri Azam berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, MATF merekodkan 3,523 tangkapan membabitkan pelbagai operasi berprofil tinggi termasuk Op Samba 2.0, Op Taufan dan Op Yellow.

Katanya, kejayaan operasi seperti Op White, Op Kingfruit, Op Sikaro dan Op Metal membuktikan keupayaan agensi penguatkuasaan menembusi rangkaian jenayah terancang yang kompleks dan merentasi pelbagai sektor.

“Pada 2025 sahaja, SPRM merekodkan sitaan RM6.87 bilion selain pembekuan, pelucuthakan dan kompaun yang memberi impak langsung kepada hasil negara,” katanya.

Menurutnya, jenayah rasuah dan kewangan kini semakin tersusun dengan kewujudan ‘jenayah korporat’ yang menggunakan struktur korporat sah serta disokong rangkaian golongan profesional bagi melindungi aktiviti haram.

Beliau berkata, kegiatan seperti penyeludupan e-waste, diesel dan tayar menunjukkan kewujudan sindiket tersusun yang turut melibatkan elemen rasuah dalam kalangan penguat kuasa.

“Malaysia berdepan risiko menjadi destinasi pembuangan sisa haram dari luar negara melalui pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan lesen import.

“Ia bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi jenayah ekonomi yang menjejaskan hasil negara serta keyakinan pelabur,” katanya.

Tan Sri Azam menegaskan rasuah menjadi pemudah cara utama kepada kelangsungan jenayah berkenaan, justeru SPRM berperanan sebagai benteng terakhir dalam memutuskan rantaian tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan penguatkuasaan secara berasingan tidak lagi relevan dan perlu digantikan dengan kerjasama bersepadu melalui MATF membabitkan pelbagai agensi.

Dalam pada itu SPRM menyasarkan untuk menjadi agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia menjelang 2045, termasuk melalui penggunaan teknologi tinggi, pembangunan kepakaran pegawai serta pengukuhan keupayaan pemulihan aset.

Beliau turut menegaskan usaha membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’.

Sesi libat urus itu turut diisi dengan forum bertajuk “Crisis Management: Challenges and Effective Strategies in Combating Modern and Future Crime” yang menampilkan Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Tuan Jules Rahman Ong serta Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) sebagai ahli panel.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Indera Junipah Wandi; Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Dato’ Mohammad Zamri Zainul Abidin serta Pengarah-pengarah Kanan Bahagian dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *