






Oleh: Sholina Osman
4 APRIL 2026
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus komited dalam memperkasa institusi pendidikan Islam dan membantu golongan memerlukan apabila menyalurkan sumbangan berjumlah RM41,400 kepada Maahad Tahfiz Al-Quran An-Nur Diniah, Sanglang.
Sumbangan tersebut disempurnakan penyampaiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat ke Masjid Ar-Rahman, Kampung Simpang Sanglang sempena program Hijrah Minda MAIPs.
Mudirnya, Mohammad Syahiran Nordin menerima bagi pihak Maahad Tahfiz Al-Quran An-Nur Diniah.
KEPRIHATINAN BERTERUSAN MAIPs
Keberangkatan Baginda mencerminkan keprihatinan berterusan MAIPs terhadap pembangunan pendidikan tahfiz di negeri ini, khususnya dalam memastikan kelangsungan operasi serta kebajikan para pelajar dan tenaga pengajar sentiasa terpelihara.
Sempena majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan Agihan Zakat MAIPs Peduli berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang golongan asnaf terpilih dari kalangan anak kariah itu, selaras dengan objektif program yang memberi fokus kepada penyaluran bantuan secara terus kepada golongan sasar di peringkat komuniti setempat.
Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban penerima, malah mencerminkan peranan proaktif MAIPs dalam memastikan kebajikan umat Islam di negeri Perlis terus terbela melalui pendekatan turun padang dan penyampaian bantuan secara bersasar.
MAIPs akan terus mempergiat usaha seumpama ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memperkukuh kesejahteraan ummah serta memartabatkan institusi pendidikan Islam di negeri ini. – JM
