PMX rai 40 pelajar baru terima keputusan SPM

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
2 APRIL 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan 40 orang pelajar yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari pelbagai sekolah dari seluruh Malaysia bersama dengan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah atas keputusan yang diperoleh.

Anwar berkata walau apapun keputusan yang diterima, usaha dan perjalanan jauh anak-anak ini perlukan kesabaran dan tekad bersungguh-sungguh dalam setiap bidang yang akan diceburi kelak.

“Saya juga berkongsi pandangan dengan anak-anak, selain kecemerlangan akademik, kekuatan nilai dan akhlak juga penting dalam membina masa depan yang lebih baik,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

BERKONGSI CABARAN GEOPOLITIK

Beliau juga berkongsi cabaran geopolitik semasa yang dihadapi dunia khususnya isu ekonomi.

Anwar berkata anak-anak ini juga diingatkan agar sentiasa mengambil berat dan patuh kepada pesanan baik ibu bapa dan pada yang sama peka dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar kelak.

Jelas beliau kerajaan akan melakukan segala ikhtiar sebaik mungkin dalam menyediakan peluang kepada seluruh anak-anak kita dalam menyediakan masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Saya doakan seluruh anak-anak lepasan SPM diberikan kekuatan, kecekalan diri dan kemahuan yang kuat untuk menjadi lebih baik daripada apa yang terima hari ini,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *