PMX pengerusikan Mesyuarat Khas MB, KM teliti krisis tenaga global

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
2 APRIL 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini menjadi wadah penting untuk meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat

Beliau berkata pendekatan yang diambil berteraskan data serta realiti semasa, agar setiap pimpinan negeri dapat bertindak secara selari, bersepadu dan berpaksikan fakta bersama Kerajaan Persekutuan.

Dalam kerangka ini, beliau berkata Kerajaan menggerakkan perancangan senario yang teliti dan menyeluruh bagi mendepani pelbagai kemungkinan, termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.

TEKANAN KENAIKAN HARGA

“Fokus Kerajaan MADANI kekal tegas dan tidak berganjak, memastikan kestabilan bekalan, membendung tekanan kenaikan harga serta melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau berkata setiap langkah dilaksana dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan, dengan keutamaan jelas untuk menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif sokongan yang bersasar dan berkesan.

Dalam masa sama, beliau berkata libat urus strategik bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus diperkukuh agar setiap pendekatan bersifat menyeluruh, seimbang dan berimpak tinggi.

“Semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri kekal menjadi teras utama, dan saya yakin Malaysia akan terus teguh, berdaya tahan serta mampu melindungi rakyat dalam apa jua keadaan,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *