Kastam Perlis berjaya gagalkan pelbagai taktik penyeludup, rampas kanabis bernilai RM188,007.20

Oleh: Sholina Osman
30 MAC 2026

Pelbagai taktik digunakan oleh penyeludup, asal sahaja ia dapat mengelirukan pihak berkuasa.

Bagaimanapun ia tidak semudah itu, taktik penyeludup tetap akan berjaya dikesan.

Begitu juga dengan tiga kes rampasan kanabis bernilai RM188,007.20 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis kali ini yang juga melibatkan pelbagai taktik oleh penyeludup.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata bagi kes rampasan kanabis seberat 10.812 kilogram, penyeludup sengaja meninggalkan ia dalam satu bungkusan plastik hitam di tempat membuang sampah di pintu sempadan Malaysia-Thailand, Jalan Sadao, Padang Besar.

BUNGKUSAN BERISI DADAH

Beliau berkata modus operandi bungkusan berisi dadah itu sengaja ditinggalkan di pintu sempadan untuk dipungut oleh individu lain.

“Ia ditemui pada 3 Mac 2026 pukul lebih kurang 8.45 malam oleh pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar setelah melakukan serbuan di lokasi berkenaan,” kata Ismail pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Perlis petang ini.

Beliau berkata pasukan berkenaan telah menemui satu bungkusan plastik hitam ditinggalkan dalam keadaan yang mencurigakan.

Ismail berkata hasil pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut mendapati terdapat sebuah kotak yang mengandungi sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan berat sebanyak 10.812 kilogram dan bernilai RM33,517.20.

MENJADI TUMPUAN PEMANCING

Beliau berkata satu lagi kes apabila penyeludup menggunakan Pulau Batu Layang, Kuala Perlis yang selama ini menjadi tumpuan pemancing untuk diletakkan dengan bahan terlarang bagi dikutip individu lain.

“Bertindak atas maklumat, pada 5 Mac 2026 pukul lebih kurang 10.30 malam, pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan / Marin Kuala Perlis telah melakukan pemeriksaan di kawasan pelantar Pulau Batu Layang,” kata beliau.

Beliau berkata hasil pemeriksaan telah menemukan dua buah kotak yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di celahan batu pulau berkenaan.

30 KETULAN MAMPAT

“Pemeriksaan ke atas kotak tersebut mendapati terdapat 30 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan berat sebanyak 30.83 kilogram dan bernilai
RM92,490.00,” katanya.

Ismail berkata satu lagi kes rampasan pada 5 Mac 2026 pada pukul lebih kurang 1.30 pagi, semasa pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan / Marin Kuala Perlis melakukan rondaan air.

“Pasukan berkenaan telah mengejar sebuah sampan yang mencurigakan di kawasan perairan Kuala Perlis sempadan Malaysia – Thailand,” katanya.

Beliau berkata sampan tersebut kemudiannya bertindak memecut laju menuju ke perairan Thailand dan membuang beberapa bungkusan ke dalam laut.

DADAH JENIS KANABIS

“Pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut mendapati terdapat 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan berat sebanyak 20.20 kilogram dan
bernilai RM62,000.00,” kata Ismail.

Beliau berkata tiada sebarang tangkapan dibuat dan kesemua kes ini masih dalam siasatan.

“Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan ia membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *