
KUCHING, 27 Mac – Sibu bakal menjadi tumpuan apabila Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara ke-3 akan menghimpunkan kira-kira 1,000 delegasi dari seluruh rantau ini dari 13 hingga 15 Oktober 2026.
Persidangan tersebut dianjurkan susulan kejayaan penganjuran sulung di Kuching pada 2024, serta bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperkukuh sektor pelancongan selari dengan strategi pembangunan pasca pandemik 2030.
” Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 mengenal pasti pelancongan sebagai tonggak ekonomi utama. Ia bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga mewujudkan dan menyokong peluang pekerjaan, memperkukuh komuniti serta memelihara warisan semula jadi dan budaya kita. Merealisasikan visi ini bergantung kepada satu faktor kritikal, iaitu rakyat kita.” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dalam satu sidang media di Kuching, hari ini.
Tambah beliau, pemandu pelancong merupakan penyampai sejarah dan budaya serta penghubung utama yang menjadikan sesuatu lawatan lebih bermakna kepada pelancong.
Sehubungan itu, persidangan ini dilihat sebagai langkah strategik Sarawak dalam menangani pelbagai cabaran termasuk perubahan teknologi, di samping memperkukuh kerjasama dalam kalangan barisan hadapan industri pelancongan di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak, Edwin Lim berkata, persidangan itu nanti bakal memberi manfaat kepada pemandu pelancong secara keseluruhan.
” Dengan platform Kementerian Pelancongan, impak ini akan melangkaui Sarawak. Ia adalah mengenai memperkukuh Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan Asia Tenggara.” jelasnya.
Pemilihan Sibu sebagai tuan rumah oleh Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak bertujuan menyokong pembangunan pelancongan yang lebih inklusif.
Persidangan itu juga diyakini mampu membina kemahiran, memperluas jaringan profesional serta mengeratkan hubungan antara pemandu pelancong di peringkat serantau.
MADELINA
