






Oleh: Sholina Osman
16 MAC 2026
Etiqa Family Takaful Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Pertubuhan Kebajikan Sahabat Urwah menyalurkan sumbangan hampir RM500,000 bagi menjayakan pelbagai program kebajikan sempena bulan puasa di seluruh negeri Perlis di sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Sebahagian daripada jumlah tersebut melibatkan sumbangan berjumlah RM95,000 yang disalurkan kepada beberapa rumah kebajikan serta rumah anak yatim di negeri ini dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Al-Amin Sempering, Jalan Santan, Kampung Keranji, Kangar.
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan menyaksikan penyempurnaan penyerahan sumbangan kepada wakil-wakil institusi kebajikan yang terlibat.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutuf MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
WAKIL-WAKIL INSTITUSI
Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim kepada wakil-wakil institusi kebajikan yang hadir.
Antara institusi yang menerima sumbangan tersebut ialah Teratak Rahmah Persatuan Al-Islah Perlis, Persatuan Anak Yatim Negeri Perlis, Rumah Anak Yatim Mak Teh, Rumah Kanak-Kanak Arau, Rumah Warga Emas, Rumah Warga Emas Sejahtera serta Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak korporat bersama pertubuhan kebajikan dalam memperkukuh agenda tanggungjawab sosial serta menyantuni golongan yang memerlukan di Perlis, khususnya anak-anak yatim, warga emas dan golongan kurang berkemampuan.
Sumbangan yang disalurkan diharapkan dapat membantu meringankan beban institusi kebajikan yang terlibat di samping menyokong keperluan harian serta kesejahteraan para penghuni sepanjang bulan Ramadan. – JM
