Kejayaan terhasil daripada disiplin yang tinggi – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
10 MAC 2026
Foto Ihsan MAIPs

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Berusahalah dengan sepenuh hati dalam apa jua bidang yang diceburi.

Kejayaan terhasil daripada disiplin yang tinggi dan ketekunan yang berterusan.

Usah mudah berputus asa; sebaliknya jadikan setiap kegagalan sebagai pengajaran berharga yang mematangkan diri dan menguatkan langkah menuju kecemerlangan’.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail mengadakan kunjungan ke Madrasah Baitul Nur Lilbanat di Hat Yai, Thailand.

KOMITED MENJADI PENERAJU

Madrasah Baitul Nur Lilbanat terus komited menjadi peneraju dalam pendidikan Islam khusus untuk pelajar perempuan.

Ia terletak di kawasan Bang Faeb, Hat Yai, dalam wilayah Songkhla, kini mempunyai 90 orang penuntut madrasah ini menekankan penguasaan al-Quran, tajwid, serta ilmu fardu ain, selari dengan pembentukan sahsiah dan adab dalam kehidupan seharian.

Madrasah ini menggabungkan kurikulum agama dan praktikal ibadah intensif bagi membentuk pelajar yang cemerlang dari segi ilmu, kukuh rohani, dan berakhlak mulia.

PEMBELAJARAN YANG KONDUSIF

Persekitaran pembelajaran yang kondusif memastikan setiap pelajar berpeluang mendalami ilmu agama secara menyeluruh, sambil menanamkan jati diri, disiplin, dan tanggungjawab sosial.

Dengan usaha berterusan pihak pengurusan, Madrasah Baitul Nur Lilbanat bertekad melahirkan generasi hafizah yang berilmu, berakhlak mulia, dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ummah pada masa hadapan.

Selain menarik pelajar tempatan, madrasah ini juga menjadi pilihan penuntut dari Wilayah Pattani, Naratiwat dan Yala.

SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT

Dalam lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra, merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), diiringi sama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat daripada MAIPs kepada Madrasah berkenaan yang diterima oleh Pengetuanya, Ustaz Esa Madadam.

Baginda turut berkenan menyaksikan acara sampingan berupa penyerahan wang tunai dan juga pakaian daripada ahli-ahli GTK Perlis kepada pihak Madrasah sempena lawatan tahunan sempena bulan Ramadan ke negara jiran tersebut.

Turut dilaksanakan ialah sesi pengenalan mengenai peluang melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) Perlis di bawah MAIPs, membuka laluan bagi pelajar melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang agama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *