






Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2026
Seramai 25 kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis telah mengambil bahagian dalam Majlis Memasak Bubur Lambuk Lambaian Kasih Ramadan Seribu Senyuman yang berlangsung di Masjid Al Mubarak, Kampung Tasoh, Jalan Kaki Bukit.
Majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis dengan kerjasama Kariah Masjid Al Mubarak, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), serta beberapa NGO tempatan.
Program ini bertujuan memupuk semangat kasih sayang, perpaduan komuniti, dan kemahiran memasak dalam kalangan anak-anak istimewa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan puteri kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.
DISAMBUT OLEH PENGERUSI
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis, Wan Solahuddin Wan Chik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik mengacau bubur lambuk serta beramah mesra bersama anak-anak istimewa dan ahli kariah yang hadir.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Raja Muda selaku Tuanku Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan agihan Zakat MAIPs berjumlah RM23,100 kepada 33 penerima dari kalangan anak kariah Kampung Tasoh.
Majlis ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, tetapi juga mengeratkan hubungan komuniti dan menekankan kepentingan penyertaan sosial anak-anak istimewa dalam aktiviti masyarakat. – JM
