Operasi kesan bangkai MH370 di di selatan Lautan Hindi belum ada petunjuk

Oleh: Sholina Osman
10 MAC 2026

Operasi bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 di kawasan baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi masih belum menemukan sebarang petunjuk.

Kenyataan media Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) menerusi Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) memaklumkan pada
25 Mac tahun lepas, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk melaksanakan operasi di kawasan berkenaan.

Operasi ini dijalankan berdasarkan prinsip “no find, no fee”.

Operasi pencarian tersebut dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu Fasa 1: 25 hingga 28 Mac 2025 dan Fasa 2: 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026.

SELEPAS PERJANJIAN DIMETERAI

Sepanjang kedua-dua fasa operasi, sebanyak 28 hari operasi pencarian telah dilaksanakan selepas perjanjian dimeterai, melibatkan tinjauan terhadap kira-kira 7,571 kilometer persegi kawasan dasar laut dalam zon pencarian yang dikenal pasti.

Ocean Infinity turut memaklumkan bahawa beberapa aktiviti tinjauan tambahan telah dijalankan di kawasan pencarian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi ditandatangani pada Mac 2025 sebagai sebahagian daripada usaha menyokong operasi pencarian tersebut.

Sepanjang tempoh operasi, beberapa gangguan berlaku disebabkan keadaan cuaca dan laut yang tidak menentu.

Fasa kedua operasi pencarian telah berakhir pada 23 Januari 2026.

Kerajaan Malaysia kekal komited untuk terus memaklumkan perkembangan terkini kepada keluarga penumpang dan anak kapal, serta akan menyalurkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan baharu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *