KPDN rampas pelbagai produk pemeriksaan kesihatan bernilai RM1.33 juta

Oleh: Sholina Osman
10 MAC 2025

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas pelbagai produk pemeriksaan kesihatan bernilai RM1,333,970.00 setelah menyerbu gudang penyimpanan dan pusat pembungkusan pelbagai produk pemeriksaan kesihatan jualan dalam talian.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Datuk Azman Adam berkata Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya dengan kerjasama KPDN Negeri Johor telah melaksanakan satu operasi pemeriksaan dan serbuan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] ke atas sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan produk pemeriksaan kesihatan yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran.

“Operasi ini dijalankan hasil kerjasama bersama wakil pemilik cap dagangan berhubung aduan berkaitan penjualan produk kesihatan yang disyaki tiruan,” kata beliau dalam kenyataan media.

SEBAGAI GUDANG PENYIMPANAN

Beliau berkata sebuan telah dilakukan ke atas premis yang dikenal pasti sebagai gudang penyimpanan dan pusat pembungkusan pelbagai barangan jualan dalam talian.

Jelas beliau pemeriksaan dengan waran telah dijalankan oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDN bersama wakil pemilik cap dagangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menyimpan pelbagai produk pemeriksaan kesihatan menggunakan jenama tersebut yang disyaki tiruan dan dipercayai untuk tujuan pengedaran serta penjualan kepada pengguna,” kata beliau.

MONITOR TEKANAN DARAH

Azman berkata antara barangan yang ditemui termasuk pelbagai model monitor tekanan darah automatik, nebulizer, termometer digital, penimbang digital, pulse oximeter dan alat pengukur glukosa darah.

Tambah beliau hasil pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah besar barangan tersebut disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik cap dagangan yang sah.

Sehubungan itu, pihak KPDN telah bertindak menyita pelbagai barangan jenama berkenaan yang disyaki tiruan dengan jumlah keseluruhan unit yang sangat besar melibatkan pelbagai model peralatan kesihatan.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM1,333,970.00,” kata beliau.

SITAAN TELAH DIKELUARKAN

Bagi tujuan siasatan lanjut, kata Azman kenyataan pemeriksaan premis serta akuan sitaan telah dikeluarkan kepada seorang perempuan warga tempatan yang mengaku pengurus di tempat tersebut.

“Individu berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” kata beliau.

Azman berkata kes ini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik yang sah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *