Swasta, NGO amat signifikan bantu ringankan beban hospital kian mencabar – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
28 FEB. 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa peranan syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat signifikan dalam membantu meringankan beban hospital yang kian mencabar, khususnya dalam suasana peningkatan keperluan perkhidmatan kesihatan awam.

Menurut Baginda, sumbangan yang dihulurkan bukan sahaja berbentuk tenaga dan kepakaran profesional, malah merangkumi penyediaan peralatan perubatan serta bukan perubatan yang amat diperlukan.

Usaha ini secara tidak langsung meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan bahawa kerjasama strategik antara pihak hospital, sektor swasta dan NGO merupakan elemen penting dalam memastikan perkhidmatan rawatan berkualiti terus dinikmati oleh masyarakat, khususnya di daerah Sandakan dan kawasan sekitarnya.

BUKAN SEKADAR PENYAMPAIAN

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan pada kali ini bukan sekadar penyampaian sumbangan, sebaliknya menjadi platform memperkukuh jaringan kolaborasi pelbagai pihak demi kesejahteraan rakyat.

“Semoga usaha ini menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara pihak hospital, sektor swasta serta badan bukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” titah Baginda.

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Korporat Tahun 2026 di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan, Sabah.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah HDOK, Dr. Mohd Fahmie Othman.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis.

MENYAMPAIKAN SUMBANGAN IKHLAS

Dalam majlis tersebut, yang mana Tuanku Syed Faizuddin Putra serta delegasi menyampaikan sumbangan ikhlas berupa hampers datipada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada para pesakit di Wad Post Natal dan Wad Kanak-Kanak Tuanku Syed Putra turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga HDOK atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam melaksanakan amanah dengan penuh profesionalisme dan integriti.

“Teruskanlah usaha tanpa jemu dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat. Sentiasa utamakan pesakit dan kesejahteraan mereka dalam setiap tindakan, sambil kekal komited terhadap penambahbaikan berterusan dalam semua aspek perkhidmatan serta memastikan keselamatan, keselesaan dan kepuasan pesakit sentiasa terpelihara,” titah Baginda lagi.

HDOK yang menerima purata kira-kira 1,000 pesakit setiap hari membuktikan tahap kebergantungan masyarakat yang amat tinggi terhadap perkhidmatan hospital berkenaan.

DALAM MEMPERKUKUH KEMUDAHAN

Justeru, komitmen berterusan dalam memperkukuh kemudahan dan kapasiti rawatan adalah amat penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat terus disediakan kepada komuniti setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan perolehan strategik pelbagai peralatan perubatan moden bernilai lebih RM1.18 juta bagi memperkukuh kapasiti rawatan di Jabatan Pediatrik, khususnya Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Pelaburan berjumlah RM1,189,400.00 ini melibatkan perolehan sebanyak 37 unit peralatan baharu yang akan ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Tuanku Syed Putra dan NICU di hospital berkenaan.

PENJAGAAN BAYI PRAMATANG

Sebanyak 30 unit peralatan khusus diperuntukkan bagi NICU untuk memenuhi keperluan mendesak penjagaan bayi pramatang dan kritikal, termasuk dua unit ventilator bernilai RM360,000, tujuh unit mesin Bubble CPAP, serta peralatan seperti Infant Radiant Warmer dan Cardiac Monitor.

Manakala di Wad Kanak-Kanak, penambahan peralatan seperti Patient Monitor, peti sejuk perubatan dan troli ubat-ubatan akan memastikan kelancaran operasi harian serta meningkatkan tahap keselamatan pesakit kanak-kanak.

Perolehan ini bertujuan meningkatkan kadar kelangsungan hidup bayi pramatang serta mengurangkan kesesakan fasiliti melalui penggunaan teknologi perubatan terkini.

MENDEPANI CABARAN KESIHATAN

Pihak pengurusan hospital menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam mendepani cabaran kesihatan semasa, sekali gus memastikan penduduk di Sandakan dan kawasan pantai timur Sabah mendapat akses kepada rawatan pakar yang setanding dengan standard kebangsaan.

Peralatan tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat selepas melalui proses pentauliahan dan latihan teknikal kepada kakitangan perubatan yang terlibat.

Program ini secara keseluruhannya mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan semua pihak dalam memperkukuh sistem penyampaian kesihatan agar kekal efisien, selamat dan berkualiti tinggi, sejajar dengan aspirasi untuk memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *