






Oleh: Sholina Osman
25 FEB. 2026
Bertuah anak kariah Masjid Al A’la Behor Temak, Kangar, Perlis apabila berpeluang merasai keenakan Masak Lemak Daging Salai ala Negeri Sembilan pada hari ke enam iftar, malam tadi.
Masakan istimewa ini adalah air tangan suami kepada Ketua Wanita UMNO Kangar, Azihani Datuk Ali iaitu Abdul Mutalib Hashim.
“Masakan ini khusus untuk dijamu kepada jemaah masjid ini sekaligus menggembalikan nostalgia apabila mengenangkan arwah ayah, Datuk Ali Ahmad (bekas Menteri Besar Perlis) yang telah menamakan masjid ini iaitu Al A’la,” kata Azihani.
Kata Azihani suaminya itu mempunyai cara tersendiri (hasil pengalaman gemar memasak) untuk menyalai daging sebanyak 7 kilogram secara tradisional.
PEDAS ITU DIKURANGKAN
“Cuma rasa pedas itu dikurangkan memandangkan orang Perlis ni tidak begitu tahan makan pedas seperti orang negeri Sembilan,” katanya.
Beliau tidak menyangka anak kariah yang hadir telah memberi sambutan hangat terhadap masakan ini.
Rata-rata dilihat makan sampai licin kerana hidangan “rare” ini menarik perhatian lebih membuka selera terutama setelah seharian berpuasa.
Penulis sendiri berkesempatan untuk merasai keenakan masak lemak daging salai ini.
LEMAK PEKAT SANTAN
Diakui keharuman daging salai ini yang bersatu dengan rasa lemak pekat santan ini menjadikan ia sebagai hidangan autentik yang mengundang kesedapan luar biasa.
Ternyata penat lelah Abdul Mutalib memasak berbaloi sebab anak kariah Behor Temak “terpana” apabila berpeluang menikmati keenakan Masak Lemak Daging Salainya.
Di tambah pula Azihani menyediakan “Serawa Pisang” yang merupakan pemanis tradisi Perlis yang sentiasa mendapat tempat di hati orang muda dan tua. – JM
