



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
24 FEB. 2026
Malaysia mengalu-alukan pengembangan perniagaan dan pengukuhan perkongsian Ant International dengan syarikat-syarikat Malaysia dengan mengikut kerangka mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membina keupayaan dalam meningkatkan tahap ekonomi digital negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ant Group yang bermula dengan perkhidmatan AliPay pada tahun 2004 merupakan sebuah syarikat multinasional berpangkalan di China.
“Ant International yang beribu pejabat di Singapura adalah unit perniagaan antarabangsa di bawah Ant Group dan Khazanah Nasional Berhad merupakan pelabur utama serta rakan kongsi bagi Alibaba Group & Ant Group,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Perdana Menteri menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Ant International, Peng Yang dan delegasi pada petang semalam.
Beliau menjelaskan dalam sesi perbincangan berkenaan merangkumi tahap kemajua penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia selain bidang-bidang seperti pelancongan, perdagangan, teknologi dan bakat bagi syarikat tersebut. – JM
