PMX lancar inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan

22 Feb 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan yang bertujuan menghubungkan institusi masjid dengan golongan belia melalui pendekatan lebih segar dan inklusif.

Anwar berkata inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh.

PENYATUAN MASYARAKAT

Menurut PMX , masjid tidak harus dilihat sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat dan pembangunan sahsiah.

Anwar berkata, inisiatif itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh.

” Alhamdulillah, pada petang tadi saya berkesempatan meraikan para asatizah dan anak muda dalam Majlis Berbuka Puasa serta Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Belia dan Sukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

” Saya zahirkan penghargaan di atas sinergi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Belia dan Sukan atas inisiatif mendekatkan anak muda dengan masjid khususnya bersempena bulan Ramadan al-Mubarak. Ikhtiar kedua menteri ini wajar didukung dalam mengangkat darjat anak muda sebagai memaknai payung ketakwaan madrasah Ramadan dan bukannya sibuk dalam isu yang memecahbelahkan umat,” ujar PMX dalam perkongsian di laman media sosialnya hari ini.

Beliau berkata, dalam kemahuan membina keupayaan ilmu dan pendidikan, beliau berkongsi mauduk perbincangan dengan cucu setelah solat subuh tadi mengenai peringatan Allah SWT sebagaimana yang dalam surah ‘Abasa diturunkan sebagai teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berpaling daripada Abdullah ibn Umm Maktum, seorang sahabat buta yang ingin mempelajari Islam.

Ibrah dari peristiwa ini menjelaskan kepentingan peka dan keperluan memberi keutamaan kepada orang yang kekurangan, bukan semata memberi perhatian kepada golongan yang berada sahaja.

Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ (٢) وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكْرَىٰٓ (٤)

Maksudnya: “Ia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana ia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! – (3) Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4)

Surah Abasa (1-4)

Suara kecil ini mungkin lebih mulia di sisi Allah SWT dan sifat hormat dan prihatin kepada persekitaran ini penting kepada generasi hadapan dalam penyempurnaan adab, berdedikasi kepada perjuangan kebenaran, tidak gentar kepada ujian namun hanya takut kepada Allah .

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *