






Oleh: Sholina Osman
18 FEB. 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan agar seluruh warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa memperbaharui tekad, berwawasan luas, dan menjunjung tinggi prinsip amanah.
Kekuatan utama MAIPs terletak pada kesepaduan antara ahli Majlis, pihak pengurusan, kakitangan, serta rakan strategik.
Sikap profesional, disiplin, dan semangat kerjasama sangat dituntut bagi memastikan setiap keputusan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada umat Islam di Perlis.
DIPUTUSKAN DALAM MESYUARAT
Baginda turut mengingatkan bahawa setiap dasar, cadangan, atau perancangan yang telah diputuskan dalam mesyuarat tidak akan bermakna tanpa pemantauan rapi dan pelaksanaan yang berkesan. Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan bantuan sampai secara nyata kepada golongan yang memerlukan.
Pada masa yang sama, MAIPs kini sedang giat memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak, daripada agensi kerajaan dan institusi pendidikan hingga ke sektor swasta dan NGO, baik di dalam mahupun luar negara.
Usaha kolektif ini bertujuan meluaskan skop khidmat masyarakat serta memberikan impak yang lebih besar kepada setiap program yang dijalankan.
TEGUH SEBAGAI INSTITUSI
Semoga MAIPs terus teguh sebagai institusi yang membela ummah berteraskan hikmah, keadilan, dan kasih sayang, serta sentiasa dalam keberkatan Allah SWT.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar kawasan Tambun Tulang, Arau baru-baru ini.
Usaha ini bukan sekadar aktiviti sukan atau riadah, malah menjadi medium penting bagi MAIPs untuk mendekati serta berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat, di samping menyampaikan agihan zakat MAIPs dan bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
BANTUAN SECARA TERUS
Sepanjang kayuhan, para peserta turut mengunjungi masjid, kampung, sekolah serta kawasan komuniti bagi menyampaikan bantuan secara terus kepada golongan asnaf.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Rosipiah Mahamud, 68, dari Kampung Mua Tambun Tulang, Halimah Ismail, 70, dari Tambun Tulang, serta Saat Bahrom, 65, dari Kampung Sri Gelam.
Tuanku Raja Muda seterusnya berkenan singgah melawat D’Paddy HR Guest House, di Tambun Tulang bagi menyokong kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026. Ia merupakan penginapan percutian dengan suasana kampung yang menjanjikan ketenangan dengan pemandangan sawah padi yang menghijau dilengkapi dengan bilik ber-AC, Wi-Fi, TV, dan kolam renang dan sesuai buat keluarga atau rombongan kecil. – JM
