KAMPUNG ANGKAT MADANI, PLATFORM KERJASAMA STRATEGIK

Dengkil, 15 Februari – Kampung Angkat MADANI berfungsi sebagai platform kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat setempat untuk mengenal pasti keperluan sebenar rakyat serta melaksanakan intervensi berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, projek-projek yang dilaksanakan berupaya merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan, menghidupkan aktiviti ekonomi luar bandar dan mewujudkan impak berganda kepada pembangunan ekonomi negara.

“Pelaksanaan yang telus, berorientasikan hasil dan berteraskan integriti ini bukan sahaja memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, malah meletakkan program ini sebagai model pembangunan komuniti yang holistik dan mampan,” katanya pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI Kampung Sungai Buah, di sini, hari ini.

Program Kampung Angkat MADANI diperkenalkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 dan kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta di bawah B.11 – Perkhidmatan Am Perbendaharaan bagi membangunkan Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor.

Menurutnya, antara projek dilaksanakan ialah menaik taraf dan baik pulih infrastruktur serta bangunan yang telah disiapkan di kampung ini selain kerja-kerja membina jalan baru; memasang lampu solar; menaiktaraf rumah sampah; membina rumah sampah baharu; menurap semula jalan Sungai Buah luar; membina longkang; membaikpulih pintu gerbang dan mercu tanda; program gotong-royong perdana di balai raya serta program gotong-royong belia di gelanggang sukan futsal dan takraw.

“Sebagai penduduk di kampung ini, saya bukan sahaja melihat kepada pembangunan infrastruktur, tetapi termasuk juga kebajikan dan juga pelajaran anak-anak.

“Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian adalah taraf hidup penduduk yang mengalami keciciran daripada kepesatan pembangunan dan memerlukan bantuan,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *