
MIRI, 15 Feb – Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan budaya, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, semangat muhibah, keharmonian dan kerjasama antara kaum perlu terus diperkukuh, bagi menjamin kestabilan sosial serta pembangunan berterusan, khususnya di Miri.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena Program Agihan Limau dan Angpau Tahun Baharu Cina, di Sun City dan Pasar Krokop 10, Miri, baru-baru ini.
Menurutnya, program itu bertujuan menyantuni masyarakat setempat, terutama peniaga dan orang awam yang menjadi nadi ekonomi komuniti.
Sepanjang program, beliau beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung, sambil menyampaikan limau serta sampul angpau sebagai simbol kemakmuran dan kesejahteraan.
Tambahnya, agihan tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat majmuk.
Beliau turut mendengar pandangan serta isu dibangkitkan, termasuk cabaran ekonomi dan kos sara hidup.
Segala maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan, bagi menambah baik perkhidmatan dan kebajikan rakyat di Parlimen Miri.
Beliau berharap Tahun Baharu Cina kali ini membawa kebahagiaan, kesihatan dan rezeki berpanjangan kepada seluruh warga bandar raya itu.
NORIZA
Kredit Foto: Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Miri
