


Oleh: Sholina Osman
Foto: Ihsan MAIPs
11 FEB. 2026.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan melancarkan penetapan kadar zakat fitrah bagi negeri Perlis untuk tahun 1447H bersamaan 2026M di Istana Siraj Kuala Lumpur pada petang semalam.
Kadar bagi tahun ini ditetapkan kekal dengan 1 kadar sahaja pada RM9.00 bagi setiap individu, iaitu jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya.
Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
HARGA PASARAN SEMASA
Penetapan kadar RM9.00 ini diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di negeri Perlis, selaras dengan tuntutan syarak yang menetapkan kadar satu gantang Nabawi bagi setiap individu.
Selain itu, bagi umat Islam yang menunaikan zakat dengan beras, maka kadar zakat fitrah ditetapkan satu gantang Nabawi seorang iaitu bersamaan 2.6 kilogram.
Menurut sebaran media MAIPs, pembayaran boleh dilakukan melalui amil-amil yang dilantik secara rasmi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atau menggunakan kaedah pembayaran dalam talian di Laman Portal Rasmi MAIPs di www.maips.gov.my atau melalui Laman Perkhidmatan Digital, digital.maips.gov.my. – JM
