PMX beri amaran segera betulkan kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)28 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran dan teguran keras agar segala kelompongan serta kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan diperbetulkan tanpa berlengah.

Beliau berkata jika amanah yang dipikul dirasakan terlalu berat, atau godaan serta tekanan luar menimbulkan keraguan untuk bertindak tegas dan berprinsip, maka berterus teranglah dan berilah laluan kepada individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab ini.

“Harus diingat, jawatan yang disandang bukan perhiasan atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar, walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Terdahulu beliau hadir pada majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Jabatan, Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), di Putrajaya hari ini.

TIDAK BOLEH SAMA

Anwar berkata penyeludupan, rasuah serta kegiatan gelap tidak boleh sama sekali dinormalisasikan.

“Apatah lagi jika ia berlaku dengan kelonggaran atau perlindungan oleh mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang,” tegas beliau.

Tegas Perdana Menteri ini adalah pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.

TIADA LAGI RUANG

“Saya juga menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk sikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah. Tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu,” tegas Anwar.

Beliau berkata rakyat menuntut pembaharuan yang nyata, bukan retorik kosong.

Justeru itu kata beliau setiap agensi penguatkuasaan wajib membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, serta bekerja sebagai satu pasukan demi memulihkan maruah institusi, bangsa dan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *