



Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 JANz 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tak mahu bertolak ansur di mana kalaupun kerajaan terpaksa ambil Tanah Rizab Melayu untuk pembangunan jalan, maka ia akan diganti.
Beliau berkata beliau mendengar sendiri jaminan ini oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung Projek Pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang sepanjang 4.3 kilometer yang menghubungkan Jalan Sungai Lalang dan Lebuh raya SILK telah melibatkan Tanah Rezab Melayu.
“Hal ini semua kita harus beri perhatian dari awal supaya kita tidak hadapi masalah yang besar dan kerja-kerja seperti mengambilalih tanah persendirian, soal tanah rizab Melayu ganti, itu semua kita dapat jaminan daripada Kerajaan Negeri Selangor akan membantu supaya dapat dileraikan cara baik,” kata Anwar.
PEMBANGUNAN PRASARANA AWAM
Beliau berucap demikian sebelum melakukan pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor, semalam.
Anwar berkata projek-projek seperti ini, kalau tidak ada usaha tolak ansur dia sukar berjalan kerana dia merempuh banyak kawasan dan ada yang sensitif kerana menyentuh juga kawasan Rizab Melayu.
“Tetapi saya ucap terima kasih kerana sementara kita terpaksa selesaikan soal tanah kubur, tanah pembangunan, tanah kubur yang agak besar juga, memenuhi keperluan perkuburan, permintaan perkuburan di kawasan Wilayah Persekutuan, bandaraya,” tambah beliau.
Sehubungan itu kata beliau ia cuba diselesaikan dengan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih.
DAPAT MEMBERI PULANGAN
Di samping itu, pihak beliau juga telah cuba melihat kepentingan pembangunan yang lebih menyeluruh supaya projek itu dapat memberi pulangan dalam pelaburan yang munasabah
“Jadi sebab itu, saya beri perhatian bagaimana boleh kita jana pertumbuhan ekonomi dan menjamin keselesaan, persekitaran dan soal keindahan dan juga keperluan rakyat tempatan,” ujar beliau.
Anwar berkata antara yang banyak dibangkitkan oleh penduduk di sini ialah kesesakan.
“Jadi, kita terpaksa hadapi dan kos pembangunan lebuh raya itu agak tinggi dan termasuk juga penggantian kawasan perkuburan sebahagian besar bagi orang Islam yang di Wilayah Persekutuan. Jadi hal ini semua diambil kira,” kata Perdana Menteri. – JM
