


GOMBAK, 6 Januari 2026 – Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar telah menyampaikan syarahan dalam Inaugural Distinguished Alumni Talk Series IIUM 2026, anjuran Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bertempat di Senate Hall, Level 5, Bangunan Muhammad Abdul-Rauf
Kehadiran beliau diiringi oleh Peguam Cara Negara, Dato’ Suzana binti Atan; Peguam Cara Negara II, Dato’ Seri Umar Saifuddin bin Jaafar; Ketua-ketua Bahagian Jabatan Peguam Negara (AGC); serta alumni UIAM dalam kalangan pegawai AGC.
Dalam ucapannya, Tan Sri Peguam Negara yang merupakan alumni AIKOL sesi 1992 menyifatkan kepulangannya ke kampus sebagai satu momen refleksi terhadap nilai keadilan, integriti dan amanah yang telah membentuk perjalanan profesional beliau. Menyentuh agenda reformasi perundangan negara, beliau menekankan langkah bersejarah pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai usaha memperkukuh ketelusan serta kebebasan institusi perundangan di Malaysia.
Beliau turut berkongsi kejayaan Program Green Harvest, satu inisiatif strategik AGC dalam mengenal pasti dan menyerap bakat terbaik daripada fakulti undang-undang seluruh negara, termasuk AIKOL, UIAM.
Bagi tahun 2025, seramai 80 calon telah dilantik sebagai pegawai AGC, dengan 15 peratus daripadanya terdiri daripada alumni UIAM.
AGC kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi melalui pengambilan pelajar tahun akhir dan graduan baharu yang cemerlang sebagai pegawai kontrak sebelum diserap ke jawatan tetap, serta melalui penglibatan akademik dalam rundingan dasar dan pembaharuan undang-undang negara.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Pengerusi Yayasan Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Pengasas Yayasan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli Ahmad Makinudin; Pengerusi Wing Alumni AIKOL, YBhg. Datuk Lukman Sheriff Alias; serta Dekan AIKOL, YBrs. Prof. Dr. Ida Madieha binti Abdul Ghani Azmi.
Foto : OFFICE OF COMMUNICATION,
ADVOCACY AND PROMOTION FOR CHANGE, IIUM
