



Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Jabatan Penerangan Negeri Perlis
25 DIS. 2025
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya secara sukarela di atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan berkuatkuasa hari ini, 25 Disember 2025.
Mohd Shukri berkata beliau telah memaklumkan hasrat itu setelah diperkenan mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari ini.
“Semasa mengadap Tuanku, saya telah menyatakan hasrat
meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela, atas faktor kesihatan,” kata beliau pada sidang media khas di Kediaman Menteri Besar Perlis di Kangar hari ini.
Mohd Shukri juga telah mempersembah surat peletakan jawatan kepada Tuanku Raja dan telah menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Baginda mempertimbangkan hasrat tersebut.
Mohd Shukri menjelaskan selepas ini beliau akan memberi tumpuan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
JUTAAN TERIMA KASIH
Beliau juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis,
seluruh warga penjawat awam dan khususnya rakyat Perlis yang telah
memberikan kerjasama yang baik sepanjang di bawah pentadbiran beliau.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pucuk
kepimpinan parti serta seluruh ahli parti yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugasan ini,” kata Mohd Shukri.
Beliau juga memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan di sepanjang menggalas amanah yang berat ini.
“Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja, Raja Perempuan, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kerana memberi peluang kepada beliau menjadi Menteri Besar dan mentadbir Kerajaan Negeri Perlis dalam tempoh tiga tahun ini. – JM
