Dua individu ditahan tular video individu bertudung minum arak

Oleh: Sholina Osman
25 DIS. 2025

Seorang lelaki dan wanita tempatan berumur 22 dan 24 tahun ditahan di Subang Jaya pada pukul 4.30 petang, 24 Disember 2025 ekoran video viral individu bertudung minum arak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata siasatan awal polis mendapati individu yang memakai tudung dan minum arak itu adalah seorang lelaki.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang sengaja mencetuskan ketidakharmonian dan menyinggung sensitiviti keagamaan,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung rakaman video tular itu dengan siasatan dijalankan oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) (D5) JSJ.

SIASATAN JENAYAH TERKELAS

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata beliau.

Beliau berkata penerangan peruntukan kesalahan-kesalahan tersebut adalah berdasarkan Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan, jika disabitkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau tidak lebih dari lima tahun.

Tambah beliau berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan denda tidak melebihi lima ratis ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

PDRM menjelaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja tidak menjaga sensitiviti keagamaan yang mewujudkan suasana tidak harmoni.

Gesaan PDRM supaya orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menguggat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *