Jakim ambil perhatian isu individu Muslim terlibat program “Interfaith Water Ceremony”

Oleh: Sholina Osman
24 DIS. 2025

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil perhatian tentang penularan isu berkaitan dakwaan penglibatan individu Muslim dalam program yang dirujuk sebagai “Interfaith Water Ceremony”.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddon Suhaimee berkata ia telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, individu tersebut bukan pegawai Jakim,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata Jakim akan memanggil individu berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

ISU DAKWAAN PENYERTAAN

Sementara itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan kenyataan media rasmi pada 18 Disember 2025 bagi menjelaskan isu dakwaan penyertaan pegawai JHEAIPP dalam program tersebut.

Kenyataan berkenaan memperincikan latar belakang penganjuran program, tujuan sebenar kehadiran pegawai agama Islam negeri, serta konteks rakaman yang tular di media sosial.

Bagi memastikan penelitian yang adil dan menyeluruh, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Iqram Mohamad Noor bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu yang dibangkitkan.

Perkara ini sedang diteliti secara serius oleh Jakim.

PIHAK BERKUASA AGAMA

Dalam masa yang sama, Jakim
bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkaitan, bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh, berlandaskan perundangan sedia ada.

Jakim sentiasa komited memelihara kesucian akidah umat Islam.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, dimohon membuat laporan rasmi kepada pihak Polis Diraja Malaysia serta pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *