PMX terima Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
31 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (APEC Business Advisory Council – ABAC) 2025 daripada Pengerusi ABAC Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam.

Beliau berkata laporan ini menghimpunkan pandangan serta aspirasi komuniti perniagaan di seluruh ekonomi Asia Pasifik kepada para Pemimpin Ekonomi APEC dengan hasrat untuk memperkukuh pertumbuhan yang inklusif dan mampan, mempertingkat daya saing perniagaan, serta memastikan manfaat kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Seruan laporan ini terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan adalah selari dengan dasar keterlibatan Malaysia yang berkecuali dan pragmatik,” kata beliau dalam hantaran di FB.

SUASANA PERDAGANGAN GLOBAL

Anwar berkata dalam suasana perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu, pendekatan seimbang Malaysia yang mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan China sambil berpaksikan kerjasama serantau melalui ASEAN dan platform seperti APEC meletakkan negara sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai blok ekonomi di rantau ini.

“Malaysia meneliti laporan ini dengan penuh perhatian sebagai input penting dalam perbincangan dasar sepanjang Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi APEC di Gyeongju, khususnya dalam memperjuangkan agenda yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi, dan pembangunan serantau yang seimbang,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *