


Oleh: Sholina Osman
31 OKT. 2025
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Injunksi Erinford yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sivil terhadap platform Telegram, sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori MCMC di Mahkamah Rayuan.
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan keputusan ini merupakan langkah penting dalam usaha berterusan MCMC memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab, serta
selaras dengan kepentingan awam.
Melalui keputusan tersebut, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi melarang penyiaran kandungan yang memudaratkan seperti yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa.
PENUTUPAN SEPENUHNYA SALURAN
Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran “Edisi
Siasat” dan “Edisi Khas”
, serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi.
Perintah Injunksi Erinford ini bertujuan mengelakkan penyebaran kandungan palsu, mengelirukan, menghasut, serta bahan yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam negara melalui saluran-saluran di platform tersebut.
Dalam keputusannya, mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi.
KEADILAN JELAS BERPIHAK
Keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada MCMC memandangkan kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan.
Mahkamah turut mengingatkan bahawa penyedia platform luar negara seperti Telegram, walaupun mungkin tidak memahami sepenuhnya struktur sosial dan budaya unik Malaysia, hendaklah sentiasa peka serta menghormati konteks perlembagaan dan sosial negara ini. – JM
