Peruntukan RM50 bilion isyarat kerajaan iktiraf keselamatan tiang seri kestabilan negara – Saifuddin

Wartawan JM
31 JULAI 2025

Peruntukan RM51 bilion kepada sektor keselamatan pada pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) memberi satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara.

Sebagai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata
beliau amat menghargai keutamaan yang telah diberikan terhadap pemerkasaan sektor keselamatan dan pertahanan dalam RMK13.

“Dalam dunia yang kian mencabar – dengan ancaman rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, dan risiko ekstremisme – keperluan untuk memperkukuh keupayaan operasi, logistik dan teknologi agensi-agensi keselamatan kita amatlah penting,” katanya dalam kenyataan media hari ini (31 Julai).

Sehubungan itu katanya inisiatif untuk memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan memperkasa penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) adalah tepat pada waktunya.

PASUKAN KESELAMATAN NEGARA

Beliau menjelaskan pendekatan ini akan membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan lebih efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa, serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim – khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan isu-isu keselamatan serantau seperti di Laut China Selatan.

“Lebih penting, saya ingin menzahirkan penghargaan atas penekanan serius Kerajaan terhadap kebajikan warga kerja keselamatan, khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain yang berkhidmat di barisan hadapan,” kata beliau.

Saifuddin berkata dengan penyediaan 1,368 unit kuarters baharu PDRM dan 3,088 unit kuarters ATMyang telah siap, ditambah 8,501 unit lagi yang sedang dibina, serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang telah dibaik pulih, merupakan langkah yang sangat bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing.

“Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan kita untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi, sekiranya keperluan asas mereka – tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang kondusif, serta jaminan sosial – diabaikan,” kata Saifuddin.

UNTUK MENINGKATKAN INFRASTRUKTUR

Beliau berkata usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan dan sokongan kepada warga keselamatan adalah amat dialu-alukan dan wajar diberi pujian.

“Saya percaya bahawa dalam dunia hari ini, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui senjata dan bilangan anggota keselamatan semata-mata, tetapi melalui keupayaan kita menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh – dari latihan, logistik, teknologi hingga ke aspek kebajikan,” tambah beliau.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri akan terus mendukung sepenuhnya pelaksanaan RMK13 dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan inisiatif-inisiatif di bawah sektor keselamatan dalam negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kami komited untuk terus memperkukuh keselamatan dalam negeri, memelihara kedaulatan undang-undang, dan menjamin keamanan hidup rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” ujar beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *