Pembentangan RMK-13 tepat pada saat negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global – Ahmas Zahid

Wartawan JM
31 JULAI 2025

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen sebagai tepat pada saat negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang mencabar daya saing dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, sebagai pelan pembangunan lima tahun, RMK-13 bukan sekadar dokumen ekonomi, ia mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan yang inklusif dan saksama, serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir.

“Saya tertarik dengan fokus kebijakan kedua dalam RMK13 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi melalui penciptaan nilai
— dipacu oleh pendigitalan dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI),” kata beliau dalam kenyataan media hari ini (31 Julai).

Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendekatan ini merangkumi pemacuan industri bernilai tinggi (High Growth High Value – HGHV) dan sektor-sektor strategik agar pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja mampan, tetapi juga inklusif dan saksama

PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

“Saya menyambut baik penekanan terhadap pembangunan luar bandar dan segala usaha dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya dengan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau selaku Pengerusi Majlis TVET Negara menyambut baik penekanan dalam RMK13 terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Jelas beliau ia sejajar dengan tekad kami untuk menjadikan TVET sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja yang relevan dan kompetitif termasuk lah melaksanakan Program TVET MADANI kini turut menyasar pelajar tahfiz dan huffaz.

“Fokus akan diberikan dalam memperluas akses latihan kemahiran, meningkatkan kadar gaji graduan TVET, dan melaksanakan strategi berfokus yang menyelaras kehendak industri dengan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

PELABURAN LUAR BANDAR

Beliau berkata dengan Pembangunan Sosioekonomi Desa – FELDA, FELCRA, RISDA dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) akan menerajui pelaburan luar bandar termasuk bandar pintar, REE, pengeluaran makanan, dan perbandaran hijau mampan.

“Pendidikan Awal Kanak-Kanak – Penambahbaikan KEMAS merangkumi penubuhan TABIKA anak istimewa, naik taraf premis daif dan peluasan kemudahan digital,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata dengan pelaksanaan agenda PuTERA35, melibatkan penskalaan PMKS, pemilikan dalam sektor strategik, dan mobilisasi profesional muda.

SEBAGAI PEMACU PEMBANGUNAN

“Pembangunan Wilayah – Lembaga Kemajuan Wilayah (KLW) diperkukuh sebagai pemacu pembangunan wilayah yang lebih cekap melalui pelan induk yang menyeluruh,” katanya.

Ahmad Zahid berkata dengan pengurusan bencana – lebih RM20 bilion diperuntuk untuk projek tebatan banjir dan sistem amaran awal berasaskan Al, serta pengukuhan kesiapsiagaan dan tadbir urus bencana.

Beliau berkata dengan pelancongan desa pula tumpuan diberikan pembangunan STIZ (Zon Pelaburan) di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak dan Program Desa Kirana akan menjadi pemangkin pelancongan desa berasaskan warisan, alam semula jadi, gastronomi, produk tradisional dan aktiviti komuniti. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *