


Oleh: Sholina Osman
31 JULAI 2025
Kerajaan telah mengambil langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2025.
Kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan ia adalah
sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.
“Inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan Telur Gred Khas yang akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan,” kata kenyataan itu lagi.
Langkah penstrukturan semula ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan subsidi, di mana penjimatan yang dijana akan disalurkan semula kepada program-program kesejahteraan rakyat yang selari
dengan nilai-nilai teras Malaysia MADANI.
KEUPAYAAN PIHAK INDUSTRI
Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.
Rakyat juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Untuk makluman, antara Februari 2022 hingga Disember 2024,
Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam – satu jumlah yang besar dan bersifat sementara bagi membantu rakyat serta industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.
SUBSIDI INI DISUSUN
Kini, dengan keadaan pasaran yang semakin stabil, subsidi ini disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil.
Sebarang pertanyaan atau maklumat berkenaan isu bekalan atau harga telur ayam boleh disalurkan ke e-mel rasmi KPKM di pro@kpkm.gov.my atau menerusi hotline KPKM di talian 03-8000 8000.
Kerajaan MADANI sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang mengutamakan kesejahteraan semua lapisan masyarakat. – JM
