ECERDC berjaya merekodkan pelaburan RM6.4 bilion pada 6 bulan pertama 2025 – PMX

Oleh: Sholina Osman
30 JUN 2025

Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion dengan pengwujudan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited pula telah mencecah RM10.4 bilion, iaitu melepasi sasaran RM10 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025.

“Perencanaan Kerajaan terutamanya melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan sebanyak lapan buah projek strategik dan berimpak tinggi yang dijadualkan akan siap pada tahun ini,” katanya dalam hantaran di FB.

MEMBINCANGKAN BEBERAPA PERKARA

Sementara itu Anwar mempengerusikan mesyuarat ECERDC hari ini (30 Jun) yabg membincangkan beberapa perkara berkaitan kemajuan semasa petunjuk-petunjuk utama bagi koridor ekonomi ini.

Selain itu katanya, juga membincangkan kerangka hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang sedang giat disediakan Kerajaan.

“Saya telah tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur-pelabur, termasuklah kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi yang efisien dan proaktif yang akan mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *