




Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita)
10 Jun 2025
Serangan fitnah terhadap Nurul Izzah masih belum berkesudahan walaupun Pemilihan KEADILAN 2025 – 2028 sudah dinoktahkan.
Ada sahaja fitnah dilemparkan kepada Nurul Izzah yang kini adalah Timbalan Presiden KEADILAN yang baharu .
Sedihnya si tukang fitnah ini bukan sahaja menyerang Nurul Izzah di Malaysia tetapi juga dalam waktu Puteri Reformasi itu dan suami sedang menunaikan ibadat haji di tanah suci Mekah.
Si tukang fitnah menyebarkan berita kononnya Nurul Izzah pergi haji dengan pakej mewah.
Sebelum fitnah berlarutan Nurul Izzah mengambil langkah bijak dengan membuat pencerahan dalam muka bukunya Ahad lalu.
Dalam ulasan ini biarlah penulis menyiarkan penuh tulisan Nurul Izzah supaya boleh difahami oleh rakyat Malaysia terutama warga maya.
PENJELASAN NURUL IZZAH
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكاتُهُ
Gambar pertama semasa pertemuan bersama saudara Muneeb di Madinah, bukan di Makkah.
Beliau berkongsi perkembangan terkini graduan Malaysia di Madinah.
Gambar kedua, tempat tinggal kami yang berdekatan dengan kawasan khemah warganegara Malaysia di Mina. Alhamdulillah.
Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan.
Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah.
Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
TIADA JET PERIBADI
Tiada jet peribadi seperti yang di fitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah Haji yang lain.
Di Madinah, kami juga sempat menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt, dan juga Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin – suatu pengalaman yang sangat menyentuh hati.
Paling bermakna, dapat melaksanakan ibadah Haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama kita.
Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, jangan lah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia.
Eid Adha Mubarak.
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ
Pencerahan yang dibuat oleh Nurul Izzah inilah sepatutnya disebar atau ditular seluas-luasnya supaya fitnah tidak lagi berpanjangan.
Usahlah diganggu Nurul Izzah dan suami menunaikan ibadah haji. Kita doakan mereka dan seluruh umat Islam yang menunaikan haji dipermudahkan segala urusan dan berada dalam rahmat Allah s.w.t.
Sebaik Nurul Izzah pulang ke Malaysia tugas besar menanti beliau untuk memastikan KEADILAN diperkasa serta diperhebat sebagai persiapan PRN serta PRU.
Yang sayangkan parti KEADILAN pasti mahu melihat parti kita terus teguh dan cemerlang.
Pesanan penulis kepada kaki fitnah berpada-padalah menyerang peribadi Nurul Izzah.
Usahlah kerana Nurul Izzah anak PMX serangan kepada beliau dibuat tanpa batasan.
Berlaku adillah kepada Nurul Izzah yang telah dipilih sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.
Tidak salah kita berbeza pendapat atau pandangan, namun janganlah memfitnah hingga hilang kewarasan.