Projek Jagung Komuniti Guar Halban, Mata Ayer, Perlis Laporan Eksklusif oleh Wartawan Jendela MADANI Sholina Osman

Siri 1:
Mukadimah: Projek Ladang Jagung Manis Komuniti Kampung Guar Halban

Projek Ladang Jagung Manis
Komuniti Kampung Guar Halban
Anjuran Bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan/Jabatan Perdana Menteri ICU/JPM dan Rakan Strategik

Pengerusi Majlis Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (MPKK):
Sofi Othman
Setiausaha: Doyah Ismail
Bendahari: Asman Mahmud
9 Ahli Jawatankuasa (AJK)

Program Komuniti MADANI mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Ucapan Belanjawan 2024.

Ia merupakan Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) , inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian Dana dari RM50,000 sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

PROGRAM BANTUAN KERAJAAN

Program ini merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan yang bertujuan untuk mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.

Permohonan SejaTi MADANI dibuka bermula 25 Mac 2024 sehingga 30 September 2024.

Program yang dimohon hendaklah program/aktiviti yang dapat meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat dalam lima sektor utama serta bersifat “quick win” iaitu aktiviti yang membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat di antara tiga hingga enam bulan.

Ia melibatkan lima sektor utama tersebut ialah pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti dan aktiviti hijau dan kitar semula.

Siri 2:
Semangat Komuniti Guar Halban

Sofi Othman
Sofi Othman bersama Doyah Ismail berkunjung ke Pejabat Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai tanaman jagung bagi projek mereka.
Sofi Othman ketika melawat tanaman jagung di pejabat pertanian di Kompleks Bukit Temiang, Perlis.
Ahli komuniti Guar Halban mula menyemai benih jagung untuk projek mereka.
Anak benih jagung yang telah sedia untuk ditanam
Para peserta komuniti Guar Halban mula menanam anak jagung.

Pengerusi MPKK Kampung Guar Halban, Sofi Othman bukan calang-calang ketua.

Dalam fikirannya ligat memikirkan apakah bentuk projek yang boleh dilakukan bagi membolehkan komuniti ini mempunyai sumber pendapatan sendiri.

Sebagai ketua yang aktif dan “alert” untuk pelaksanaan sebarang program bagi komunitinya, beliau tertarik bila berpeluang mengikut satu taklimat berhubung pinjaman istimewa dari kerajaan MADANI oleh kerajaan negeri Perlis.

Sebaik pulang dan bertemu dengan barisan AJKnya, ternyata semua memberikan sokongan padu.

SAMPAI DAPAT DANA

“Kita usahakan sampai dapat dana ini,” sahut semua AJK dengan penuh semangat.

Bagaimanapun, sebelum memohon dana kata Sofi, barisan AJKnya mula berbincang projek apa yang mereka semua ingin bangunkan.

Jadi masing-masing memikirkannya dengan memberi cadangan itu dan ini.

“Akhirnya kami sepakat memilih bidang pertanian iaitu jagung, sebab dipilih kerana ia mudah ditanam, risiko diserang penyakit agak rendah dan tempoh masa untuk tuaian juga antara 65 hingga 70 hari,” katanya.

MEREKA BERTEKAD MENGUSAHAKANNYA

Sekalipun masing-masing tiada pengalaman dalam tanaman jagung, Sofi berkata, mereka bertekad mengusahakan sehingga membuahkan hasil.

Jelasnya, setelah kertaskerja lengkap dalam tempoh sebulan, permohonan ini terus dihantar kepada pihak berkenaan.

Beliau tidak menjangka permohonan dana berjumlah RM100,000 telah diluluskan.

Katanya, dalam dua minggu, permohonan telah diterima dan tidak sampai sebulan dana diluluskan dan paling menggembirakan apabila dimaklumkan separuh dari dana sebanyak RM50,000 telah dimasukkan ke akaun.

SEBANYAK 20 ORANG

Sebaik dimasukkan dana, Sofi segera mengumpulkan kesemua AJK dengan ahli sebanyak 20 orang bagi memulakan projek ini.

“Mula kami berbincang untuk menubuhkan nama kumpulan ini di mana akhirnya sepakat memilih Projek Ladang Jagung Manis Komuniti Kampung Guar Halban,” katanya.

Beliau berkata, tanah sawah seluas 2.84 ekar di Guar Halban telah dipilih sebagai lokasi tanaman secara sewaan.

Selepas itu, beliau bersama AJK bertemu dengan pegawai di Jabatan Pertanian Perlis untuk mendapatkan khidmat nasihat maklumat cara penanaman jagung dan penggunaan biji benih yang sesuai.

“Rata-rata ahli komuniti ini adalah pesawah, peniaga dan bekerja sendiri dan kami langsung tidak ada pengalaman dan ilmu dalam tanaman jagung,” katanya.

WAKTU SEBELAH PAGI

Berikutan itu katanya, masa lapang masing-masing adalah di waktu malam tetapi ada yang telah bersara dengan jabatan kerajaan lebih suka memilih waktu sebelah pagi atau petang.

Katanya, pihaknya telah memilih pelbagai variati benih jagung untuk disemai terlebih dahulu.

Sofi berkata, kesemua ahli bergotong-royong menyemai anak benih.

Bagaimanapun katanya, untuk menggemburkan tanah pihaknya terpaksa mengupah kerana ia melibatkan penggunaan jentera dengan beberapa tenaga kerja.

DIPINDAHKAN KE TAPAK

“Kami semua meneruskan kerja-kerja menyemai benih bermula 15 November 2024 sehinggalah ia dipindahkan ke tapak semaian mulai 24 November 2024 dengan yang berjumlah 14,000 anak benih,” katanya.

Beliau berkata, selepas lima hari anak benih ditanam, cabaran pertama mendatang dengan tidak disangka.

“Hujan lebat selama tiga hari telah memusnahkan 3/4 anak benih yang ditanam kerana telah ditenggelami air,” katanya.

Sebaik hujan berhenti, kesemua mereka terpaksa bekerja lebih keras apabila menimba air keluar dari kawasan tanaman jagung.

TAPAK PERTANIAN DIBAJAK

“Setelah tapak kering, tapak pertanian dibajak semula di mana sekali lagi terpaksa menanggung kos untuk kerja-kerja ini,” katanya.

Pada kali ini sebanyak 11,000 anak benih baharu telah ditanam.

Kata Sofi, selepas itu pokok jagung mula membesar dengan sempurna dan masing-masing berdoa supaya tidak akan dilanda musibah lagi.

Akhirnya 10 Februari 2025, waktu yang ditunggu sudah tiba apabila sebanyak 2,000 tongkol berjaya dituai buat kali pertama.

HARGA JUALAN JAGUNG

Beliau berkata, harga jualan jagung adalah mengikut saiz iaitu Gred A – 8 tongkol; Gred B – 10 tongkol; Gred C – 15 tongkol dengan harga RM10.

“Kami mewar-warkan jualan jagung ini menerusi media sosial, bagi yang jauh boleh COD dan penghantaran paling jauh ke Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Sofi berkata, seperti dijangka jagung manis terus dari ladang memang mendapat sambutan hangat dari penduduk setempat.

Beliau berpuas hati kerana tanaman jagung komuniti ini dituai beberapa kali sehingga pertengahan bulan April.

“Alhamdulillah hasil jualan semua jagung telah mencapai jualan RM7,000 bagi projek pertama ini,” katanya.

Beliau bersama komuniti Guar Halban akan meneruskan lagi projek jagung ini pada masa hadapan bukan saja untuk menambahkan pendapatan ahli malah sebagai usaha mengukuhkan ukhmah di kalangan mereka.

Siri 3:
Cabaran projek tanaman jagung

3/4 anak pokok jagung baharu ditanam lima hari musnah akibat banjir
Ahli komuniti mengepam air keluar dari kawasan tanaman jagung
Masing-masing bertungkus lumus untuk membuka laluan air supaya kawasan tanaman jagung dapat dikeringkan segera untuk ditanam semula
Sekali lagi ahli komuniti menanam semula benih anak jagung selepas dimusnahkan banjir
Akhirnya pokok jagung yang menjadi projek Komuniti Guar Halban mula membesar.
Sofi Othman (kiri) bersama dengan salah seorang ahli Komuniti Guar Halban berpuas hati apabila projek jagung mereka menjadi kenyataan.

Tahan hati, jalan terus walau apa terjadi.

Pengerusi MPKK Kampung Guar Halban, Sofi Othman impiannya untuk menjadikan suatu hari nanti Guar Halban ada produk sendiri – iaitu jagung manis mesti terlaksana.

“Pedulikan cakap-cakap yang melemahkan semangat sebaliknya kami komuniti Kampung Guar Halban terus bergerak supaya projek jagung manis ini berhasil,” katanya.

Beliau akui, sebaik lima hari anak benih pertama ditanam, hujan lebat lebih 48 jam telah menenggelamkan 3/4 daripada 14,000 anak benih.

“Dugaan sangat besar tapi kemusnahan ini tidak melemahkan semangat kami,” katanya.

BERSAMA-SAMA MENIMBA

Sebaliknya mereka bersama-sama menimba air di kawasan tanam sehingga kering.

Lagi sekali mereka melakukan tanaman semula sebanyak 11,000 lagi anak benih.

Sesungguhnya, sikap tidak putus asa ini mula menunjukkan tanda positif apabila pokok mula membesar dengan baik.

“Sepanjang tempoh pokok membesar, kami ada juga mengggunakan racun perosak tetapi dalam jumlah yang kecil kerana sebolehnya bebas dari penggunaan bahan kimia,” katanya.

HANYA 10 PERATUS

Sofi mengakui beliau berpuas hati kerana hanya 10 peratus sahaja rosak.

Kesemua jagung yang dituai dapat dijual mengikut gred cuma pada saiz yang sederhana.

Beliau berharap dengan pengalaman pertama ini boleh dijadikan panduan untuk musim penanaman akan datang bagi hasil lebih berkualiti.

Siri 4:
Komen ahli komuniti projek tanaman jagung manis

Sabri Abdul Hamid
Ismaliza Ismail
Hariza Abdul Rashid
Salah seorang peserta Komuniti Guar Halban sibuk melakukan pengkelasan saiz jagung.
Salah seorang peserta Komuniti Guar Halban sedang mengupas kulit jagung untuk dibersihkan sebelum diasingkan mengikut saiz.
Ahli Komuniti Guar Halban sibuk melakukan pengkelasan jagung yang pertama kali dituai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak (lima dari kanan) bergambar bersama Sofi Othman (empat dari kanan) dan ahli Komuniti Guar Halban semasa melawat projek tanaman jagung.

Sabri Abdul Hamid, 68, seorang pesara seronok melibatkan diri bersama komuniti Guar Halban bagi projek tanaman jagung manis.

“Saya tiada pengalaman dalam pertanian, penyertaan di dalam komuniti ini membolehkan saya belajar sesuatu dari duduk sahaja di rumah,” katanya.

Prinsip susah senang bersama antara ahli komuniti menjadikan antara mereka “tidak berkira” untuk melakukan apa saja bagi memastikan projek ini berjalan.

Beliau akui, cabaran anak benih tenggelam memang memberikan satu tamparan hebat.

DENGAN TANAMAN SEMULA

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja perkara itu dapat diselesaikan dengan tanaman semula menjadikan dia dan rakan semakin bersemangat.

“Apabila setiap hari melihat pokok semakon membesar dengan sempurna, ia merupakan satu kepuasan yang tidak ternilai,” katanya.

Apapun katanya, antara ahli komuniti saling bekerjasama dengan baik demi kejayaan projek sulung mereka.

Ismaliza Ismail, 51, mengakui sebaik sahaja jagung sudah boleh dituai, dirinya dan rakan sekomuniti bagai tidak menjangka bahawa hari yang ditunggu akhirnya tiba.

TANAM ANAK BENIH

“Pada peringkat awal, kami sama-sama menyemai benih, kemudian tanam anak benih sehinggalah kami diduga apabila tanaman ditenggelami air menjadi kenangan sukar dilupakan,” katanya.

Apabila tiba musim tuaian, kata Ismaliza mereka juga bersama-sama melakukan kerja pengkelasan saiz jagung.

Katanya, tidak cukup dengan itu masing-masing sibuk mempromosi jagung manis ini di media sosial masing-masing.

Kata Ismaliza mereka tidak pernah berasa penat sebaliknya sentiasa bersemangat khususnya apabila akhirnya projek jagung manis Guar Halban berjaya dituai dan laris jualannya.

PENTING SEMANGAT BEKERJASAMA

Bagi Hariza Abdul Rashid, 55, apa yang penting semangat bekerjasama antara mereka bagi merealisasikan projek ini.

“Penat lelah kita selama dua bulan akhirnya membuahkan kejayaan sekalipun sebelumnya kedengaran “suara-suara” yang cuba melemahkan semangat kami,” katanya.

Katanya, keakraban antara mereka bukan setakat memastikan kejayaan projek jagung manis tetapi berterusan dalam kehidupan seharian supaya komuniti Guar Halban terus maju jaya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *