Polis Perlis rampas dadah 365 kg bernilai RM13.14 juta di dalam kereta

Oleh: Sholina Osman
2 JUN 2025

Polis Perlis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) bernilai RM13.14 juta setelah tertangkapnya seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dalam sidang media di Dewan Serbaguna Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini (2 Jun) berkata, kegiatan suspek ini berjaya dibongkar pada pukul 3.30 pagi pada 1 Jun 2025 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perlis.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta, telah ditemukan 17 guni berjahit yang di dalamnya terdapat 365 kg bernilai RM13.14 juta,” katanya.

Muhammad berkata, dipercayai suspek menggunakan kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand sebagai transit sebelum dadah ini diedarkan di selatan tanahair.

SECARA SEDIKIT-SEDIKIT

“Dipercayai dadah ini dibawa secara sedikit-sedikit dari negara jiran untuk dikumpul oleh suspek sebelum dijual,” katanya.

Kata Muhammad, rampasan itu dapat menyelamatkan dadah berkenaan dari digunakan oleh 3.6 juta penagih.

“Suspek direman selama seminggu mulai 1 Jun 2025 bagi membantu polis menjalankan siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

MEMPUNYAI REKOD LAMPAU

“Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau bersabit dadah,” katanya.

Pada sidang media sama, Muhammad juga memaklumkan penangkapan seorang lelaki warga negara Thailand berusia 30 tahun di Taman Singgah Sana, Padang Besar pada pukul 2.15 pagi, 2 Jun 2025.

Beliau berkata, ia hasil maklumat yang diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Padang Besar.

“Hasil pemeriksaan telah ditemui dua bungkusan ketulan ganja mampat seberat 2 kg yang disembunyikan dalam sebuah tong sampah di kawasan tersebut dalam anggaran RM6,200.00,” katanya.

Katanya, penemuan gqnja ini sekaligus dapat diselamatkan dari digunakan oleh 20,000 penagih.

Tambahnya, suspek direman selama seminggu mulai 1 Jun 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Suspek juga positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dari saringan awal,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *